Bajet PH Kering Idea, Perkenal Inisiatif Hasil ‘Cedokan’ – Noraini

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Bajet 2020 yang melibatkan perancangan Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada tahun 1991 pasti dinantikan oleh rakyat dengan harapan sesuatu yang luar biasa ditawarkan oleh kerajaan.

Malangnya, ujar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad sesuatu yang luar biasa tidak kesampaian kerana apa yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Menteri Kewangannya, Lim Guan Eng adalah perkara yang dianggap biasa.

“Tidak ada benda yang baharu dan mereka hanya meneruskan apa yang telah kerajaan terdahulu laksanakan. Saya yakin jika Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan, satu perbentangan Belanjawan yang lebih baik dan komprehensif akan dapat diumumkan.

“Lebih menyedihkan, tuduhan demi tuduhan terhadap kerajaan sebelum ini masih lagi menjadi antara topik perbentangan Belanjawan mereka.

“Meskipun, ada antaranya sedang dibicarakan di mahkamah malah ada juga istilah yang digunakan oleh Menteri Kewangan berbaur fitnah yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Dap membentangkan bajet kedua kerajaan PH sejak memegang tampuk pemerintahan negara di Dewan Rakyat.

Seterusnya, Dr Noraini berkata terdapat beberapa inisatif yang diperkenalkan merupakan hasil ‘cedokan’ daripada usaha kerajaan BN.

“Antara perkara yang ‘dicedok’ daripada kerajaan BN adalah peruntukan sebanyak RM500 juta yang diperuntukkan kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menjamin kemudahan untuk usahawan wanita.

“Kedua, penyediaan sebanyak 50 peratus geran padanan Kerajaan sehingga RM5,000 setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai langkah pendigitalan operasi mereka seperti sistem jualan elektronik.

“Ketiga, peruntukan sebanyak RM10 juta kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi memanfaatkan e-Pasaran dan platform media sosial untuk menjual produk mereka,” ujarnya.

Begitu juga dana sebanyak RM450 juta diperuntukkan kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan rangsangan digital untuk meningkatkan jumlah rakyat Malaysia, peniaga dan PKS menggunakan E-dompet, katanya lagi.

Tambahnya, kesemua itu merupakan inisiatif yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa kerajaan PH hari ini kekeringan idea atau terpaksa menerima hakikat bahawa formula pengurusan ekonomi kerajaan sebelum ini adalah yang terbaik buat rakyat dan negara.

“Tidak dapat kita nafikan bahawa inisiatif-inisiatif itu wajar untuk diteruskan. Cuma, seharusnya fikirkanlah idea yang lebih baru apatah lagi kerajaan baru sahaja memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, berkaitan inisiatif #WanitaKerja bagi menarik kembali lebih ramai wanita ke alam pekerjaan, kerajaan seharusnya bukan sahaja menabur bantuan kewangan, ia seharusnya dilaksanakan secara holistik iaitu dengan memperkenalkan latihan kepada industri supaya dapat menyediakan suasana kerja yang mesra keluarga.

“Ini sama dengan apa yang sedang dilaksanakan di Australia yang mana, kerajaannya memberi latihan kepada industri ke arah itu bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali ke dunia pekerjaan.

“Ini sekali gus akan memberi keseimbangan kepada wanita dan juga pihak majikan supaya satu suasana yang kondusif di tempat kerja dapat diwujudkan,” katanya.

Ulasnya lagi, mengenai peruntukan sebanyak RM20 juta yang dipanjangkan kepada PERKESO dalm program i-Suri, ia merupakan satu inisiatif yang baik namun pelaksanaannya harus diperjelaskan secara terperinci.

“Begitu juga dengan sumbangan KWSP sebanyak dua peratus daripada akaun suami. Apakah mekanisme pelaksanaannya? Bagaimana pula dengan mereka yang berpoligami?

“Perkara ini harus dilihat secara terperinci kerana kita tidak mahu ada kaum wanita yang tercicir daripada bantuan dan inisiatif ini.

“Perlulah kita pastikan belanjawan ini bersifat inklusif yang memberi manfaat kepada semua rakyat,” tambahnya.

Dr Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PH kerana meneruskan beberapa inisiatif baik yang telah dilaksanakan oleh BN sebelum ini walaupun mungkin tidak mahu mengakuinya.

“Tak mengapalah, kerana yang penting adalah rakyat mendapat manfaatnya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.