Januari 2020 Yang Mengerikan… Ada Cukai Baru Nak Dibayar – Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menjangkakan tahun depan iaitu 2020 merupakan kedatangan bulan Januari yang mengerikan apabila beberapa cukai baru akan dilaksanakan.

Menurut beliau setelah Good And Services Tax (GST) dihapuskan dan digantikan dengan Sales And Services Tax (SST), kerajaan terpaksa mencari jalan keluar kepada kekangan pendapatan dengan memperkenalkan cukai-cukai baru.

“Satu cukai GST dihapuskan berapa banyak cukai baru dibuat… cukai baru seperti cukai gula, cukai pelepasan udara, seterusnya cukai digital segala ‘content’ digital Netflix yang kita tengok segalanya kena bayar. Teruk betul Januari tahun depan dan menakutkan.

“Saya tanya kepada Kementerian Kewangan segala cukai-cukai baru serta berapa hasilnya tidak seberapa. Antaranya lagi cukai keuntungan harta tanah naik. Ramai yang tidak puas hati. SST bunyi cukai satu je kan… ‘slow-slow tipu’ kata anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dari Parlimen terbitan Penerangan UMNO-TV yang disiarkan secara live menerusi facebook UMNO-Online, di sini malam tadi.

Mengulangi pencerahan dan perbezaan antara GST dan SST, Ahmad memberitahu, GST merupakan satu cukai dan SST pula merupakan dua cukai.

“S pertama adalah ‘Sales’ dan T itu pula adalah ‘Tax’. S yang kedua ‘Services Tax’. ‘Services Tax’ enam peratus ada dalam resit tetapi ‘Sales Tax’ itu cukup merbahaya iaitu 10 peratus. Sebab apa bahaya… sebab tidak ada dalam resit dan rakyat tidak tahu.

“Mereka ini cuba mahu membodohkan kita. Contoh… katalah sebuah meja berharga RM100… diambil SST itu daripada kilang meja iaitu kilang perabot bererti kilang kenakan sebanyak 10 peratus. Jadi harganya RM110… RM10 itu agak-agak kilang serap ke… mana ada kilang mahu menyerap RM10 itu.”

Terangnya, RM10 cukai jualan ini dianggap kos kepada perniagaan dan apabila dianggap kos kepada perniagaan ianya akan masuklah dalam harga perabot.

“Jadi perabot ini daripada RM100 termasuk margin…mungkin kosnya bawah lagi . RM110 ini dijual kepada pembekal dan pengedar serta pemborong. Dan pada peringkat ini dikenakan lagi cukai atas cukai. Apabila cukai atas cukai itu akhirnya tiba kepada pembeli RM110 itu akan naik menjadi RM117… RM118… RM120… tengok keadaan.

“Kalau GST berapa… Kalau ini kena RM120 SST tidak ada dalam resit, GST cuma RM106. Tanyalah pada mereka yang terlibat dalam  sektor perniagaan pada saat dan ketika ini apa kesan GST kepada kos mereka,” ujarnya.

Tambah Ahmad lagi, sama-sama tunggu dan lihat pembentangan Bajet 2020 yang akan dibentangkan oleh kerajaan sama ada wujud cukai-cukai baru atau sebaliknya walaupun PM sebelum ini mengatakan tidak ada.

“Kalau tidak ada mungkin mereka akan tambah senarai atau naikkan peratusan cukai-cukai tertentu. Kita teropong elok-elok sebab dalam bajet ini satu komponen besar dalam bajet selain daripada peruntukan belanja mengurus dan belanja pembangunan komponen terbesar cukai.

“Saya kira tidak banyak sangat gula-gula sebab bukan tahun pilihan raya dan saya kira bajet ikat perut punya ‘stail’. Bajet ini perkara yang tidak beberapa popular yang mahu diawalkan supaya prinsip mereka rakyat mudah lupa.Tetapi sekarang ini oleh kerana kita ada kecanggihan ‘handphone’ dan sebagainya  kita boleh ulang balik segala janji palsu mereka, manifesto mereka yang boleh mengingatkan kita,” tambahnya.

Ahmad Maslan juga ingin mendengar daripada pembentangan bajet samaada hutang negara disebutkan atau sebaliknya.

“Saya nak dengar hutang… nak sebut hutang atau tidak. Kalau tidak disebutkan pun saya akan cari  dalam ‘economics report’ itu mesti ada letak hutang berapa. Mereka tidak boleh tipu angka-angka itu. Hari itu hutang kita awal dan akhir 2017 dan awal 2018 RM686.8 bilion. Ini kita kira-kira secara kasar kemungkinan dah naik jadi RM810 bilion. Kenaikan RM 124 Bilion dalam masa setahun lima bulan, dan akhirnya cita-cita mereka hutang RM1 Trilion akan tercapai. Ini pelik tetapi benar,” ujarnya – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.