Belanjawan 2020 Tidak Ada Benda Baru … Tidak Ada ‘Wow’

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan hari ini bukan sahaja tidak menyeluruh malah tidak ada sesuatu yang baru sebaliknya menyambung pendekatan serta program yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong melihat apa yang dilaksanakan oleh kerajaan terkebelakang berbanding dengan apa yang telah dibuat oleh kerajaan dahulu sepertimana program digital ekonomi.

“Harapan rakyat tentu mahu melihat bajet ini dapat menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji yang mereka kemukakan kepada rakyat terutama dalam manifesto sebelum ini.

“Namun ternyata bajet ini keseluruhannya tidak ada sesuatu program baru. Yang banyak kita lihat adalah menyambung kebanyakan program dan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan BN sebelum ini. Ini dapat dibuktikan melalui program-program misalnya dari sudut ekonomi.

“Program digital ekonomi misalnya yang dibuat oleh kerajaan BN dahulu lebih terkedepan. Kita membawa Jack Ma membuka Digital Free Trade Zone (DFTZ) di Sepang yang memperlihatkan lebih besar untuk membuka gerbang digital ekonomi Malaysia ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada UMNO-Online, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Namun tambah Shamsul lagi dalam bajet hari ini kelihatan kerajaan PH kembali semula ke projek MSC yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir dahulu dan ini memberi makna negara kembali ke belakang sedangkan kerajaan BN dahulu telah bergerak ke depan iaitu ke sudut digital ekonomi.

Tegas Shamsul lagi secara umum walaupun  ada pemberian bantuan-bantuan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil tetapi ianya jauh lebih rendah berbanding dengan apa yang diberikan oleh kerajaan BN dahulu.

Ujarnya lagi nampak jelas kerajaan hari ini juga membuat persediaan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan sebab itulah beberapa pengumuman dibuat baik daripada sudut prasarana, pendidikan mahupun bantuan-bantuan lain dilihat sebagai satu usaha untuk memberi ‘gula-gula’ kepada rakyat di Sarawak.

“Saya sebenarnya mengharapkan bajet hari ini akan dapat melihat sesuatu yang baru sebagaimana kita mahu mengemukakan bajet yang membolehkan negara menghadapi situasi ekonomi global yang semakin tidak menentu. Kita mahu kerajaan mengemukakan formula bagaimana mahu meningkatkan kedudukan ringgit kita yang jatuh begitu teruk berbanding dengan Dolar Amerika dan juga matawang-matawang lain.

“Kita juga mahu melihat bagaimana pendekatan yang mahu dibuat oleh kerajaan bagi memulihkan kemasukan FDI ke dalam negara ini dan juga menaikan semula indeks di bursa saham tetapi formula yang tidak jelas dikemukakan tadi. Ianya lebih menumpu kepada usaha-usaha untuk menarik semula sokongan rakyat kepada kerajaan hari ini. Nampaknya banyak yang dikemukakan itu dulunya mereka kritik tetapi hari ini mereka laksanakan,” ujarnya.

Shamsul Anuar turut menyentuh soal gaji minimum yang dinaikkan kepada RM1200 yang dilihat tidak menepati sepertimana dijanjikan.

“Itu pun hanya dinaikkan terhad di kawasan bandar sahaja dan bagaimana pula mereka di luar bandar dan ianya tidak disebut… masih lagi tidak melepasi RM1,500 sepertimana dijanjikan walaupun berlaku kenaikan.

“Yang akan menjadi masalah nanti bagaimana mahu mentafsirkan bandar. Kalau di Lenggong pun bandar juga. Jadi tafsiran kita harap perkara ini diteliti dan saya minta apa yang dijanjikan itu ditunaikan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Parlimen BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid melihat Bajet 2020 tidak ada ‘wow factor’ yang boleh dibanggakan kerana kerajaan hari ini pun huru-hara.

“Ia meneruskan apa yang dibuat oleh kerajaan BN sahaja dan tidak ada apa nilai tambah pun kepada belanjawan.

“Saya tidak nampak apa yang baharu dan itu semua ‘copy paste’ dari BN, dan buat sedikit penambahbaikan di sana sini kemudian baca balik apa yang dibuat dahulu dan sesetengah daripadanya tukar nama. Apa yang nak ‘wownya’ kerajaan pun huru-hara,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.