Belanjawan 2020: Jangan Pinggirkan Sabah, Tunai Janji Royalti Minyak – Rahman

KOTA KINABALU, 11 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata walaupun janji untuk memberikan 20 peratus royalti minyak nampak mustahil untuk ditunaikan seperti mana janji-janji lain Pakatan Harapan (PH), tetapi beliau berharap Bajet 2020 Sabah tidak akan dipinggirkan malah akan terus diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan.

Kata Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran itu, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan peruntukan pembangunan secukupnya disalurkan kepada Sabah seperti mana yang diamalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU), saya telah memastikan Sabah terus menjadi antara penerima peruntukan pembangunan tertinggi setiap tahun.

“Bagi tahun 2016 – 2017, hampir 10% daripada peruntukan pembangunan tahunan berjumlah RM46 bilion diperuntukkan kepada Sabah iaitu RM4.5 bilion dan RM4.2 bilion masing-masing. Bagi kedua-dua tahun tersebut, Sabah merupakan penerima peruntukan pembangunan kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan.

“Sebagai sebuah negeri yang merupakan penyumbang terbesar pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui pengeluaran sumber asli iaitu minyak mentah, sememangnya Sabah layak dan patut menerima peruntukan pembangunan terbesar setiap tahun. Sabah mesti terus diberi keutamaan oleh Putrajaya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Petang ini, Bajet 2020 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang merupakan bajet kedua PH sebagai Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata kebiasaannya setiap rakyat Malaysia mengharapkan sesuatu daripada kerajaan terutamanya berkaitan hal yang mampu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi mereka.

“Seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri minggu lepas, saya berharap Kerajaan Persekutuan akan terus menumpukan kepada pembangunan dan peningkatan ekonomi Sabah dan ekonomi rakyat Sabah.

“Saya menjangkakan Sabah dan juga Sarawak akan menjadi pusat ekonomi baharu yang akan menyumbang kepada kepesatan ekonomi Malaysia.

“Lebih-lebih lagi dengan pengumuman yang dibuat oleh Indonesia berkenaan pemindahan ibu negara mereka dari Jakarta ke Kalimantan Timur,” katanya.

Seterusnya tambah Abdul Rahman, jika RM1.67 bilion boleh dibelanjakan untuk Program Sarapan Percuma bagi semua pelajar sekolah tanpa mengira kaya atau miskin, sudah pasti Kerajaan Persekutuan juga boleh memberi peruntukan pembangunan untuk meningkatkan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik yang secara relatifnya masih ketinggalan di Sabah berbanding Semenanjung.

Kemudahan seperti jalan berturap, sekolah dan hospital juga perlu diberi tumpuan untuk memastikan taraf sosioekonomi rakyat Sabah dapat dipertingkatkan sekurang-kurangnya sama taraf seperti di Kuala Lumpur, jelasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.