UMNO Tidak Boleh Halang Keputusan Diambil Utusan – Annuar

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu tidak boleh menghalang keputusan yang diambil oleh pihak Lembaga dan pemegang saham Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. yang menutup operasi mereka.

Menurut beliau itu adalah ‘business decision’ yang telah diambil oleh pihak terbabit dan secara peribadi beliau melihat ianya adalah sesuatu yang agak malang kerana Utusan wujud sebelum merdeka lagi.

“Sebelum ini UMNO beberapa kali telah membantu Utusan tetapi Utusan entiti perniagaan sekarang. Kita tidak berada di dalam Lembaga dan kita kena tengok dulu apa maksud mereka. Mereka buat ‘business decision’… Utusan membuat ‘business decision-nya’ sendiri.

“Kita akan semak apa maksud sebenar sebab gambaran yang diberikan kepada kita sebelum ini mereka meneruskan ‘production’. Apa yang mereka buat kita tidak ada maklumat. Kita akan semak…,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Annuar seterusnya menambah sejarah Utusan cukup lama kerana ianya juga sama-sama terlibat dengan pihak lain memainkan peranan termasuklah dalam gerakan membangkitkan nasionalisme dan juga menuntut kemerdekaan.

“Secara  peribadi tentulah kalau penerbitan akhbar Utusan dihentikan adalah sesuatu yang agak malang kerana Utusan ini ianya wujud sebelum merdeka lagi. Salah satu media bersama dengan lain yang memainkan peranan termasuk dalam gerakan membangitkan nasionalisme dan juga menuntut kemerdekaan.

“Jadi sejarahnya lama… tetapi kita tidak boleh bernostalgia sejarah dalam perniagaan. Dia harus buat ‘business decision’ dan kita kena ‘respect’ kalau  pemegang saham dan ahli lembaga  membuat satu keputusan. Kita harus ‘respect’ itu sebagai keputusan mereka…. Ada dua isu satu sentimen satu lagi realiti perniagaan,” ujarnya.

Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. akan memberhentikan operasi perniagaannya berkuat kuasa esok, menurut memorandum pekeliling yang dikeluarkan syarikat itu kepada kakitangan hari ini.

Memorandum yang ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir itu turut menjelaskan tarikh akhir bekerja kakitangan telah ditetapkan pada hari ini manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada hari Khamis, 31 Oktober 2019. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.