PH Bentang IPCMC Melulu, Melangkau Undang-Undang Polis Dan Perlembagaan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang cuba ditubuhkan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah satu RUU yang menyalahi dan melanggar Perlembagaan negara.

Jelas beliau, akta yang terdapat di dalam IPCMC telah melangkaui batas dan dibentangkan secara melulu.

“Dalam pasukan polis, telah ada satu jabatan pemantauan dalaman iaitu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang akan memantau tatatertib dan aduan orang awam secara dalaman. Selain itu, ada juga beberapa agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) untuk memantau pasukan polis dari segi servis dan sebagainya iaitu Suhakam dan SPRM.

“Jika kerajaan sekarang mahu menubuhkan IPCMC, ia perlu mengikut peruntukan undang-undang terutama sekali undang-undang asas iaitu Perlembagaan negara.

“Setiap penggubalan undang-undang perlu berlandaskan ‘ibu’ iaitu Perlembagaan tetapi IPCMC ini telah diberi kuasa melangkaui undang-undang polis sendiri termasuklah Perlembagaan,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Dari Parlimen yang bertajuk ‘IPCMC’ anjuran Penerangan UMNO-TV, malam tadi.

Tambah Ramli, sekiranya seseorang anggota polis itu telah dikenakan tindakan melalui IPCMC, ia dengan mudah boleh mencabar keputusan itu melalui mahkamah.

“Jika kita lihat Perkara 140 (1) yang menyebut; ‘Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pasukan Polis yang bidang kuasanya hendaklah meliputi semua orang yang menjadi anggota pasukan polis dan yang, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada, hendaklah bertanggungjawab bagi pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis’.

“… saya lihat, perkara inilah yang cuba diketengahkan oleh kerajaan tetapi kita juga harus faham barisan kedua dalam Perkara 140 (1) yang menyatakan; ‘Dengan syarat bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi penjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara dan oleh mana-mana pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang itu, dan dalam keadaan yang sedemikian, jika pihak berkuasa itu bukan Suruhanjaya itu iaitu IPMC yang dicadangkan, kawalan tatatertib yang boleh dijalankan oleh pihak berkuasa itu tidak boleh dijalankan oleh Suruhanjaya itu’. Ini bermaksud IPCMC hanya mengambil alih kawalan tatatertib sahaja.

“Seterusnya barisan ini juga menyebut ‘dan tiada peruntukan undang-undang itu boleh menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini’,” jelas beliau.

Selanjutnya Ramli turut menjelaskan mengapa beliau berpandangan IPCMC ini melampaui batas dan melanggar Perlembagaan.

“Cuba kita lihat Perkara 135 (1) iaitu sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat… ‘Tiada seorang pun anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (b) hingga (h) Fasal (1) Perkara 132 boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh sesuatu pihak berkuasa yang rendah daripada pihak berkuasa yang, pada masa pembuangan kerja atau penurunan pangkat itu, mempunyai kuasa untuk melantik seseorang anggota perkhidmatan itu yang sama pangkatnya’. Ini berkait pula dengan Perkara 132 yang menyebut anggota PDRM adlalah anggota awam.

“Kalau kita rujuk kepada IPCMC, undang-undang yang termaktub dalam IPCMC telah memberi kuasa kepada IPCMC untuk turunkan pangkat dan buang kerja. Persoalannya sekarang ini adakah IPCMC diberi kuasa untuk melantik? Jika kita lihat tidak ada satu pun yang menyebut IPCMC ada kuasa untuk melantik. Jadi bagaimana dia ada kuasa untuk buang kerja?” bidas beliau.

Tegas Ramli yang pernah berkhidmat sebagai seorang anggota polis selama 34 tahun, kuasa yang ada dalam IPCMC sebagai satu suruhanjaya bebas ternyata bertentangan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Yang menggubal undang-undang ini (IPCMC) adalah Jabatan Peguam Negara yang terdiri daripada orang cerdik pandai tetapi saya pelik kenapa mereka tidak menyedari hal ini? Tak tahulah mereka terlepas pandang atau apa sahaja… hanya mereka yang tahu.

“Kalau IPCMC tetap dilaksanakan juga ia akan memberi impak… sebagai contoh, jika saya dibuang kerja melalui undang-undang IPCMC, saya akan ambil jalan mudah dengan mengambil tindakan mahkamah untuk batalkan undang-undang ini atas dasar melanggar Perlembagaan,” katanya. – UMNO ONLINE