Sambut Gembira Jika PH Laksana GST, Kerana Ekonomi Gelap Negara Hilang Berbilion Ringgit – Ahmad


KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melahirkan kegembiraan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya ekonomi gelap telah melibatkan kehilangan berbilion ringgit, maka GST dapat mengurangkan ekonomi gelap ini sebanyak dua pertiga ataupun RM20 bilion.

“Kerajaan PH kehilangan secara tidak langsung pendapatan sebanyak RM20 bilion ringgit tersembunyi dan sepatutnya mereka (PH) menerima RM44 bilion setahun kutipan GST berbanding RM23 bilion dalam sistem SST.

“Saya kira cadangan-cadangan dari pihak MIER perlu diteliti oleh pihak kerajaan dan saya yakin bahawa 88 peratus negara di dunia yang laksana GST tidak silap. Yang silap adalah pihak yang melaksanakan SST kerana SST adalah cukai kuno, cukai yang tidak telus dan cukai yang membiakkan ‘black economy’,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, jika sistem GST dilaksanakan semula, kadar yang sesuai adalah lima peratus.

“Kalau tiga peratus terlalu rendah, mungkin boleh turun ke lima peratus. Kalau tidak, kerajaan tidak akan mendapat pendapatan sewajarnya. Pendapatan itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat,” ujarnya lagi.

Terdahulu beliau memaklumkan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasatnya atas dakwaan menerima sejumlah wang yang dikatakan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas beliau pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) juga menyiasat dan memaklum tiada menerima apa-apa pun cek dan salinan cek.

“Saya telah memaklumkan kepada mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan sejumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh pihak PDRM dan pihak SPRM.

“Saya juga telah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti dinyatakan.”

Tambah Ahmad lagi, peguamnya akan membuat tindakan selanjutnya mengenai dakwaan tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.