IPCMC: Pembangkang Persoal PH… Sudahlah Tadbir Kerajaan Tak Tahu, Tadbir Parlimen Pun Tak Pandai

 

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 menimbulkan kekecohan di dalam Dewan Rakyat hari ini apabila beberapa ahli parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan beberapa perkara selepas pembentangan RUU berkenaan.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyifatkan apa yang berlaku hari ini memalukan Ahli Parlimen apabila RUU yang dibentangkan itu menimbulkan banyak persoalan dan keadaan itu memberi gambaran terhadap kerajaan hari ini.

“Dahlah tadbir kerajaan tidak reti… nak tadbir ekonomi tidak pandai… nak jadi kerajaan tidak pandai… nak tadbir Parlimen pun tidak pandai ke. Demi maruah Dewan, saya lihat dan malu kalau orang luar tengok. Pengalaman saya di dalam Parlimen lebih 20 tahun tidak pernah kita tengok pindaan satu Akta yang baharu begitu banyak… sampai 24 pindaan. Mengapa ianya tidak dibawa dahulu kepada ‘select committee’ sepertimana yang kita buat dahulu.

“Speaker… benda ini tidak perlu dibahas. Bawa usul dan bawa kepada jawatankuasa mengapa dibahas, buang masa sahaja. Kalau bahas mesti lulus dan jika dah lulus bagaimana mahu pinda. Untuk apa ini semua. Sepertimana yang disebutkan Ayer Hitam, dah beranak baru nak nikah. Tidak bolehlah macam itu.

“Malulah kita. Saya setuju undang-undang ini satu sejarah bagi negara kita, undang-undang baru dan kita jangan mencipta satu sejarah yang memalukan Dewan. 24 pindaan bukannya sedikit. Mengapa tidak dibawa kepada ‘select committee’. Bagaimana kita pernah buat dahulu… Untuk apa kita bahas. Kalau bawah ‘select committee’ ada pindaan, adakah akan dibawa balik ke Dewan… Buang masa. Dua kali bahas… untuk apa… tolonglah ini untuk maruah kami sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 untuk bacaan kali kedua.

Perkara berkenaan turut menarik tumpuan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Ir Wee Ka Siong yang turut meminta perkara berkenaan dibawa ke ‘select committee’ terlebih dahulu.

“Apa yang menteri kata kita akan cadangkan pindaan di peringkat jawatankuasa… apa maksud dia. Pada dasar lulus dahulu. Jadi apabila dah lulus, dah kahwin baru bincang… itu yang jadi masalah. Jadi saya rasa saya terima baik apa yang Lembah Pantai kata tadi. Cara terbaik kita buat secara ‘select committee’ dan menteri sendiri pun tidak pasti apa yang hendak dibawa.

“Dan pada peringkat dasar kita nak putuskan dan tertakluk kepada pindaan di peringkat kedua iaitu jawatankuasa. Apa ni… kalau sendiri pun tidak faham apa yang mereka buat takkan kita ini baru dapat terima terus kita bincang,” ujarnya

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut bangun mencelah meminta perkara berkenaan perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana PDRM adalah satu institusi yang cukup dihormati.

“Ini bukan sahaja Dewan Rakyat. Ini kerana apa yang kita nak bincangkan adalah institusi yang cukup penting kepada negara kita. Ini juga moral dan kedudukan PDRM, kalau kita di dalam Dewan ini mahu memikirkan masa depan PDRM dengan sewenang-wenangnya begini, rakyat akan melihat bahawa kita tidak serius.

“Lebih-lebih lagi dalam konteks perkara yang boleh menentukan hala tuju PDRM dan kedudukan mereka sendiri. Sebab itu saya harap bahawa Dewan dan Speaker sendiri mengambil satu keputusan yang betul-betul tegas supaya rakyat dapat tengok apa yang kita bincangkan di Dewan ini yang akan menjejas dan yang akan menentukan kedudukan PDRM satu institusi yang cukup dihormati mesti juga dibahas dibincangkan secara hormat,” tambahnya.

Kekecohan terus berpanjangan walaupun Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon meminta Ahli Parlimen Bukit Bendera meneruskan perbahasan dan Timbalan Speaker, kemudiannya meminta pandangan yang kemudiannya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim bangun menyatakan mengenai perkara berkenaan.

Pandangan Hasan Abdul Karim kemudiannya disampuk oleh Ahli parlimen pembangkang sebagai pandangan yang bagus.

“Betul… betul… Ini bagus… dikira contohlah… ini baru ‘lawyer’ betul… Ini contoh PH terbaik… seorang ini sahaja ada,” suara ahli parlimen pembangkang.

Perbahasan kemudiannya ditangguhkan untuk rehat tengah hari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.