IPCMC: Pembangkang Berjaya Beri Tekanan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Pembangkang hari ini memberi tekanan kepada kerajaan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019, sehingga dilihat seperti berjaya menangguhkan pembentangan RUU tersebut.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul sidang Dewan Rakyat, bacaan kali yang kedua RUU itu dijadualkan berlangsung hari ini dengan rata-rata menganggap ia akan diputuskan serta-merta selepas sesi perbahasan.

Blok pembangkang mendesak RUU tidak diputuskan secara tergesa-gesa kerana percaya IPCMC boleh memberi kesan terhadap peranan institusi polis negara.

Antara alasan diberikan ialah ada risiko IPCMC boleh mengganggu atau memberi tekanan kepada operasi pihak polis, selain bimbang siapa bakal menganggotai suruhanjaya tersebut kerana khuatir jawatan itu diisi oleh mereka yang tidak sepatutnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, IPCMC dilihat terus memberi fokus kepada salah laku polis, sekali gus boleh mewujudkan persepsi buruk rakyat terhadap PDRM.

Malah katanya, sudah ada undang-undang yang boleh menyelesaikan isu salah laku polis tanpa memerlukan satu lagi suruhanjaya diwujudkan.

“Ia boleh mencetuskan persepsi (buruk) yang boleh menghilangkan moral anggota polis. Akhirnya yang mendapat kesan buruk adalah rakyat,” katanya ketika berbahas mengenai RUU tersebut.

Namun RUU IPCMC akhirnya tidak ditentukan hari ini, tetapi dipanjangkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dikaji sebelum dibawa kembali ke Dewan Rakyat bagi diputuskan.

Pada Julai lalu, RUU dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat dan IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.