Kerajaan Pahang Bantah Penutupan Uniten KSHAS, Muadzam Shah

KUANTAN 3 Okt. – Kerajaan negeri membantah sebarang usaha oleh pengurusan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) untuk menutup Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di bandar Muadzam Shah, Rompin dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, apapun perancangan yang ada dengan memberi apa juga istilah ‘bombastic’ kepada usaha tersebut, pucuk pangkalnya adalah Uniten KSHAS akan ditutup.

“Ini sememangnya kerajaan negeri tidak dapat terima dan kami membantahnya.

“Oleh itu, pengurusan Uniten serta pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) diminta supaya menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Lembaga Pengarah Uniten pada 24 September lalu mengenai inisiatif yang dikenali ‘Reimagining’, bagi memusatkan kampus-kampusnya yang ada hanya ke Putrajaya.

Di bawah inisiatif ini juga, Uniten dikatakan akan berganding bahu dengan Jabatan Real Estate Ventures (REVD) TNB untuk mentransformasikan Uniten KSHAS kepada premis TNB yang baharu.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan tanah seluas kira-kira 68 hektar kepada Uniten pada penghujung tahun 1990-an adalah bagi maksud pembinaan segala jenis infrastruktur yang diperlukan agar terbinalah sebuah kampus yang dapat menampung keperluan pendidikan dan penginapan ribuan pelajarnya.

Katanya, sejak kemasukan 200 penuntut pertama pada 2001 hinggalah kemuncaknya pada 2015 dengan seramai 4,300 orang, Uniten KSHAS telah turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosio-ekonomi bandar Muadzam Shah itu sendiri.

“Sungguhpun kini jumlah penuntutnya menurun kepada 1,300 orang tetapi ini sebenarnya merupakan kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik saya percaya, jumlah kemasukan penuntut akan kembali ramai.

“Oleh itu, seperti mana positifnya pandangan kerajaan negeri tentang kewujudan Uniten KSHAS, apatah pula dengan nilai sentimental pada namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah, begitulah juga diharapkan di pihak Uniten dan TNB,” katanya.

Menurutnya, daripada melakukan usaha untuk menutup Uniten KSHAS, adalah lebih wajar berusaha menyemarakkannya lagi dengan pengenalan lebih banyak kursus peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjananya, dengan tidaklah terhad kepada adanya Kolej Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (COBA) sahaja. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.