PRK Tanjung Piai: Biar Nombor Berbicara, Biar Kebenaran Berdiri Sendiri, Biar Sejarah Menceritakan – Dr Wee


KUALA LUMPUR, 2 Okt – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menimbulkan persoalan adakah semakin lama ‘tempoh menunggu’ untuk sesuatu Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah kerana keadaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin goyah.

Dalam hantaran di Facebook, Dr Wee yang menampilkan tiga bidalan kata bagi menjelaskan maksud tersebut iaitu ‘Biar nombor berbicara’ berkata, semasa PRK Parlimen Port Dickson, ‘tempoh menunggu’ dari hari mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke hari penamaan calon adalah sembilan hari dan bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pula 10 hari.

“Manakala, ‘tempoh menunggu’ untuk PRK di kedua-dua kerusi DUN Rantau dan Parlimen Cameron Highlands adalah 24 hari.

“’Tempoh menunggu’ untuk PRK Semenyih, 29 hari.

“Sementara ‘tempoh menunggu’ untuk PRK Tanjung Piai pula ialah 32 hari iaitu tempoh menunggu yang paling lama untuk PRK diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei tahun lepas,” ujarnya.

Manakala bidalan kedua, ‘Biar kebenaran berdiri sendiri’ pula berkaitan dengan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan MCA dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun ini yang sama dengan tarikh-tarikh berlangsungnya PRK Tanjung Piai.

“Tarikh untuk penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan MCA adalah pada 2 dan 3 November. Tarikh untuk penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai pula ialah 2 November.

“Tarikh untuk Mesyuarat Agung Tahunan UMNO adalah bermula 13 November hingga 16 November. Tarikh untuk hari pengundian bagi PRK Tanjung Piai pula ialah 16 November.

“Adakah ini satu kebetulan? Atau pertembungan tarikh ini disengajakan? Soalnya.

Justeru katanya, ‘Biar sejarah menceritakan’ mengenai alasan demi alasan yang diberikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun mengenai tarikh-tarikh PRK tersebut.

“Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pemilihan tarikh tersebut adalah bagi mengelakkan pertembungan dengan cuti umum.

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa PRK atau PRU yang diadakan sebelum ini dibuat dalam lingkungan hari cuti umum, jadi penjelasan Datuk Azhar bukanlah alasan yang kukuh,” tegasnya.

Dr Wee juga menimbulkan persoalan mengapa SPR memanjangkan ‘tempoh menunggu’ PRK Tanjung Piai.

“Adakah SPR melambatkan PRK Tanjung Piai selama 32 hari ini adalah disebabkan pembentangan Bajet 2020 (yang akan diumumkan pada 11 Oktober), laporan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) (yang akan diumumkan akhir Oktober menurut Kementerian Pendidikan Malaysia-KPM) dan pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup (sebelum 1 November)? Soalnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.