Mampukah SPR Bebas Dan Bersih Jika Tarikh PRK Pun Berpihak? Sengaja Atau Kebetulan?

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya mengelak dari persepsi tentang kecondongan partisan politik dalam badan tersebut, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini berikutan tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ialah pada 16 November sama dengan hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO yang bermula pada 13 November, yang telah lama diumumkan pada April lalu oleh Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti.

“Bagaimana SPR boleh meyakinkan rakyat tentang kemampuan mereka menjalankan pilihan raya secara bebas dan bersih sedangkan penetapan tarikh pilihan raya pun dilihat tidak bersih dan memihak?

“Saya amat berharap agar SPR terus kekal sebagai badan bebas dan tidak terlibat di dalam menyokong mana-mana parti politik,” gesanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan tarikh-tarikh berkaitan PRK Tanjung Piai iaitu penamaan calon pada 2 November, Sabtu, pengundian awal pada 12 November (Selasa) dan hari mengundi pada 16 November (Sabtu).

Sehubungan itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menimbulkan persoalan apakah tarikh yang sama tersebut merupakan kebetulan atau disengajakan.

“Jika dikaji secara teliti, tarikh Perhimpunan Agung UMNO telah diumumkan terlebih awal, tetapi tarikh penghujung PRK pula ditetapkan sama dengan Perhimpunan Agung UMNO maka ianya seolah-olah satu sabotaj kepada UMNO.

“Ianya pasti menjejaskan kesiapsagaan dan gerak kerja jentera UMNO di dalam PRK tersebut,” tambahnya.

Di samping itu jelasnya, semua kepimpinan parti UMNO dari seluruh negara akan berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini seawal 12 November bagi mewakili bahagian masing-masing untuk bersidang.

“Pastinya kepimpinan UMNO Bahagian Tanjung Piai dan UMNO Johor juga akan berada di PWTC.

“Ini bermakna semua kepimpinan UMNO tidak boleh berada di Tanjung Piai untuk menumpukan perhatian kepada PRK,” katanya.

Tegasnya sekali lagi, memang benar SPR tertakluk kepada Akta Pilihan Raya dan perlu mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari dari tarikh kerusi itu dikosongkan, namun kebetulan tersebut seolah-olah dirancang walaupun badan pengendali pilihan raya negara itu merupakan badan bebas dan boleh menetapkan tarikh pilihan raya tanpa mengira kepentingan mana-mana parti politik. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.