Tak Hormat Lagu Negaraku: PDRM, AG Mesti Bertindak Tegas Kekang Perbuatan Kurang Ajar, Biadap, Hina Identiti Negara

ALOR SETAR, 30 Sept – Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kasta haruslah bersatu padu mengecam tindakan yang amat tidak bermoral, kurang ajar, biadap dan tidak bertanggungjawab yang menghina identiti negara, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

Nur Aizat berkata demikian ketika mengulas mengenai sebuah video yang tular di laman media sosial berkenaan sekumpulan berbangsa Cina yang tidak berdiri ketika lagu kebangsaan, Negaraku sedang dikumandangkan dan dinyanyikan di dalam sebuah program makan malam yang telah menimbulkan satu kemelut rasa tidak puas hati dan amarah di kalangan rakyat yang cintakan negara.

“Perkara ini amat membimbangkan, kerana tindakan sekumpulan bangsa Cina yang memilih untuk hanya duduk ketika lagu Negaraku sedang berkumandang telah menunjukkan satu sikap kurang ajar di tahap yang tidak masuk akal, tambahan pula sekiranya mereka ini adalah warganegara Malaysia yang sah.

“Ini bukan isu rasis. Ini adalah isu sejagat. Perlakuan tidak hormat kepada lagu kebangsaan bukan perkara remeh.

“Jangan kita ambil mudah kerana perlakuan seperti ini amat-amat tidak dapat diterima dan diberikan sebarang toleransi, tambahan apabila ia dilakukan dengan sengaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, Nur Aizat menggesa Jabatan Peguam Negara bertindak proaktif dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menangkap serta menjalankan siasatan sebaik-baiknya.

“Peguam negara, dakwa mereka ini segera di mahkamah. Rakyat Malaysia mahu satu hukuman setimpal dikenakan kepada individu-individu pelampau ini.

“Kepada PDRM pula, buatlah siasatan dan tangkapan dengan kadar segera kerana PDRM telah diberikan kuasa untuk menangkap mana-mana orang yang melanggar “Tanda Hormat” sepertimana dalam Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan (ALK), tanpa waran.

“Bermaksud, polis boleh menangkap kumpulan ini walau tanpa sebarang waran tangkap yang diluluskan,” tambahnya.

Jelas Nur Aizat, Malaysia telah menggubal ALK pada tahun 1968 di mana di dalam Seksyen 8 ALK dengan terang dan amat jelas telah menyebut tentang “Tanda Hormat” apabila Lagu kebangsaan dimainkan.

“Seksyen 8 (1) ALK mengatakan apabila lagu kebangsaan dimainkan atau dinyanyikan, semua orang yang hadir hendaklah berdiri sedia sebagai tanda hormat.

“Seksyen 8 (3) dan 8 (4) ALK juga menyatakan seseorang yang menunjukkan sikap tidak hormat terhadap lagu kebangsaan, boleh disabitkan dengan penjara bagi tempoh satu bulan dan denda RM300,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu katanya, perlakuan kumpulan kurang ajar itu amat wajar dihadapkan ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman yang setimpal kerana berdasarkan video yang tular itu, perbuatan mereka mempunyai kecenderungan yang tinggi dalam merendahkan prestij lagu kebangsaan pada pandangan orang awam.

Nur Aizat juga menggesa kerajaan dan seluruh Ahli Parlimen meminda ALK 1968 [Akta 808] agar satu hukuman yang lebih berat dapat dikenakan kepada rakyat yang bertindak biadap dan kurang ajar terhadap salah satu identiti negara itu, dalam sidang Parlimen yang bakal bermula Oktober nanti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.