Konvensyen UMNO Perubahan Positif Untuk Parti – Ahmad Zahid

KANGAR, 29 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Konvensyen UMNO yang akan diadakan di setiap negeri merupakan salah satu platform dalam usaha memperkasakan parti dan ianya merupakan satu perubahan yang positif buat UMNO.

Menurut beliau keputusan yang telah diambil oleh Biro Politik UMNO dan Majlis tertinggi parti memberi ruang kepada setiap UMNO negeri dan Alhamdulillah setakat ini Sabah, Perlis dan Kedah telah pun melaksanakan konvensyen terbabit.

“Konvensyen adalah rentetan HPU 914. Cumanya di Kedah semalam mereka ada sedikit kelainan apabila melaksanakannya bersama dengan Konvensyen Muafakat Nasional peringkat negeri dan di Perlis adalah negeri yang pertama melaksanakan Konvensyen UMNO.

“Saya telah meneliti resolusi UMNO negeri dan insya-Allah kita diperingkat kepimpinan nasional komited untuk menterjemahkan pelaksanaanya,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Konvensyen UMNO Perlis yang diadakan di Dewan Wawasan, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan apa yang berlaku sebelum ini bukanlah kerana pihak lawan kuat.

“Bukan kerana lawan kita kuat tapi kerana kita lemah. Daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kita kalah di beberapa kerusi DUN dengan majoriti yang sedikit tetapi dengan kombinasi nanti insya-Allah kekuatan baru akan timbul semula.

“Penyatuan siasah politik dan penyatuan fikiran seterusnya penyatuan tindakan insya-Allah dalam PRU  nanti 15 kerusi DUN akan dimenangi oleh kita dan tidak ada kerusi pembangkang di Perlis. Ini bukan ramalan.

“Ini dipanggil pelan tindakan ke hadapan. Tidak mustahil apa yang dilontarkan akan jadi natijah yang baik. Apa pun saya ulangi kita bersatu dan jangan ada kabilah dikalangan kita,” ujarnya.

Ahmad Zahid seterusnya menambah kerajaan yang ada hari ini umpama ‘kaduk naik junjung’ malah seumpama ‘tikus membaiki labu’.

Katanya lagi mereka yang dulunya pembangkang dan termasuk mereka yang pernah berada di dalam kerajaan telah melontarkan janji sama ada di dalam manifesto atau di luar manifesto namun secara jelas hari ini mereka tidak dapat melaksanakannya.

“Malah mereka kelihatan sama pemikiran pembangkang walaupun telah jadi kerajaan. Semua kelemahan diletakkan kepada kerajaan yang lalu… masih berfikiran pembangkang dan ‘blame game’ untuk menjawab soalan termasuk di Parlimen, maka hasilnya rakyat pelbagai kaum merasa meluat dan benci dengan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim dalam ucapan perasmian melihat kerajaan hari ini seolah-olah tidak mendengar permasalahan rakyat sebaliknya lebih menjurus kepada perkara-perkara lain.

Menurut beliau hutang negara hari ini naik begitu tinggi walaupun hanya setahun setengah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kepimpinan negara.

“Sekarang ini masalah yang dihadapi… penderitaan rakyat tidak didengari. Hutang negara di bawah BN RM686 Bilion. 60 tahun memerintah pelbagai perkara yang telah kita buat dan dilaksanakan, tetapi apabila kita tutup buku RM686 bilion hutang… bangunan pencakar langit dan pembangunan luar biasa untuk rakyat dilaksanakan tetapi mereka memerintah setahun setengah hutang sekarang sudah hampir RM130 bilion. Ambil duit Petronas lagi.

“Jual harta lagi… Hotel Royal Chulan yang dipunyai Lembaga Tabung Angkatan Tentera dijual. Hospital yang diuruskan oleh Khazanah dijual. Ke mana duit itu pergi… ini persoalannya. Mereka kata mahu bayar hutang 1MDB dan sebagainya. Kalau bayar hutang berapa duit.

“Yang kita tahu BR1M kena potong, barang meningkat. Jawapannya sekarang duit tidak ada. Permasalahan ini rakyat menderita dan yang keduanya masalah perkauman meningkat. Kalau tidak perbetulkan kita akan menghadapi masalah. Pemimpin tidak boleh lagi digantung harap,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.