‘Menteri Pasola’ Dan ‘Cap Ayam’ PH Penyebab Malaysia Kekeringan Pelaburan, Galak Jual Aset Negara – Tok Mat

PASIR MAS, 28 Sept – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipenuhi barisan jemaah menteri bertaraf ‘menteri pasola’ dan ‘cap ayam’ menyebabkan negara kekeringan pelaburan asing, bidas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, walaupun setelah lebih setahun empat bulan PH berkuasa, keadaan ekonomi negara amat runcing dan semakin merosot.

“Sudah setahun empat bulan tiada apa-apa pun. Keadaan negara amat runcing, ekonomi negara merosot, tukaran mata wang teruk. Tiada ada usaha, tiada hala tuju langsung. Minyak kelapa sawit rendah tak buat apa-apa melainkan suruh minum minyak sawit satu sudu satu hari….

“Padahal minyak sawit (merudum) disebabkan mereka yang bongkak dan sombong, dapat sahaja kuasa menuding jari kepada negara yang banyak mengimport banyak minyak kelapa sawit. Menuding jari kepada negara China kerana mengatakan (kononnya) projek-projek di negara ini penuh dengan rasuah.

“Buatlah secara diplomasi, janganlah dipotong atau ditamatkan kontrak kerana ia kontrak antarabangsa yang ditandatangani oleh negara kita. Mengapa dibatalkan begitu sahaja tanpa rundingan antara negara dengan negara,” bidasnya.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian ketika berucap di majlis Ceramah Perdana Hijratul Rasul dan Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Pasir Mas, di sini malam tadi.

Turut sepentas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Kelantan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Panglima Perang Mohd Nassurudin Daud.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad, barisan kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Mas dan PAS kawasan.

Sewajarnya, kerajaan perlu berpakat dengan negara pengeluar minyak kelapa sawit yang lain seperti Indonesia iaitu mewujudkan kelab OPEC (negara pengeluar minyak) bagi menjaga pasaran, cadang Mohamad yang juga mesra dikenali sebagai Tok Mat.

Jelasnya lagi, kekeringan pelaburan asing di negara ini juga disebabkan ketidaktentuan pucuk pimpinan negara.

“Orang tak mahu datang melabur ke negara kita kerana tidak ada ketentuan tentang kepimpinan. Semalam Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad-Perdana Menteri) ada mengatakan di New York akan melepaskan jawatan tiga tahun lagi. Dan dia akan meletakkan jawatan sebelum pihan raya umum kelima belas nanti.

“Maknanya bila tidak ada ketentuan… politik kita tidak stabil, pelabur dari luar negara tidak akan datang untuk melabur ke sini. Tidak ada pelaburan yang besar datang ke negara kita. Negara kita kekeringan pelabur dari luar. Tetapi kerajaan kita yang dipandu ekonominya oleh menteri kewangan, Lim Guan Eng tidak berbuat apa-apa.

“Bahkan beliau membuat sesuatu yang tidak betul. Sepatutnya bila tidak ada duit pelaburan datang dari luar negara, kerajaan melabur dalam pasaran domestik tetapi tak buat itu, dia batalkan projek-projek. Ini menyebabkan tiada aliran tunai. Pasaran saham amat kering mengalami masalah aliran tunai yang amat teruk. Begitu juga dengan hutang negara,” katanya lagi.

PH juga tempelaknya seolah-olah tidak cukup dengan RM82 bilion duit Petronas yang dijarah ditambah pula harta-harta negara dijual begitu sahaja tetapi dalam masa yang sama rakyat tidak mendapat manfaatnya.

“Semalam kita dengar di New York, Perdana Menteri kata akan jual Petronas Carigali. Satu persatu harta hendak dijual.

“Lebih RM100 bilion hutang baharu, RM82 bilion duit Petronas, RM30 bilion aset negara dijual, RM19.1 bilion harta Tabung Haji diambil semasa harga pasaran semasa jatuh merudum.

“Kata nak bayar hutang (negara)? Tapi hutang tak dibayar… hutang 1MDB? Tak bayar juga. Di mana diletaknya duit kalau dikatanya hendak beri kepada orang (rakyat), tiada siapa pun dapat… nelayan masih belum dapat sepenuhnya bantuan seperti zaman Barisan Nasional dahulu, pesawah padi, penoreh getah tiada bantuan. Semua subsidi dan peruntukan di sekolah dikurangkan,” tegasnya.

Oleh kerana itulah katanya, blok pembangkang hendaklah diperkukuhkan supaya pada pilihan raya umum akan datang kerajaan PH wajib dikalahkan bagi menyelamatkan negara dari terus ke lembah kehancuran. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.