Keputusan Mahkamah Inkues Adib Bukti Peguam Negara Berniat Jahat, Salah Guna Kuasa

SHAH ALAM, 27 Sept – Pengerusi sekretariat Suara Rakyat Datuk Lokman Noor Adam berkata, keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah sekaligus menunjukkan Peguam Negara, Tommy Thomas berniat jahat dalam menangani kes kematian ini.

Jelas beliau, Peguam Negara juga telah melakukan salah guna kuasa apabila mendahului keputusan mahkamah.

“Keputusan inkues sendiri telah membuktikan bahawa kematian Adib berpunca daripada dipukul dan berunsur jenayah. Keputusan ini jua membuktikan Peguam Negara sememangnya mempunyai niat jahat dan tidak boleh dipercayai. Tapi inilah yang terjadi bila Peguam Negara itu datangnya daripada ketua komunis Malaya.

“Sebab apa saya cakap begitu? Kerana bagaimana kes belum selesai tetapi afidavit boleh keluar dan mengatakan ini bukan kes kena pukul… sebab itu saya kata Peguam Negara memang berniat jahat,” ujar beliau kepada media di pekarangan Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

Justeru, ujar Lokman, pihak polis juga sudah boleh menangkap Peguam Negara untuk disoal siasat.

Hari ini Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali yang mengheret dan memukulnya ketika rusuhan berlau di Kuil Sri Mahamariamman di Seafield tahun lalu.

Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Adib.

Untuk rekod, prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar telah berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.