Keputusan Kes Allahyarham Adib Kejayaan Rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 27 Sept – Ini kemenangan buat rakyat Malaysia… itulah luahan Exco Pemuda Muhammad Faiz Hashim berkaitan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.

Justeru jelas beliau, Peguam Negara Tommy Thomas harus segera meletak jawatan kerana secara tidak langsung telah terbukti gagal bersikap berkecuali dan ada cubaan untuk melindungi mereka yang disyaki terlibat dengan pembunuhan Adib.

“Apa yang diperjuangkan oleh UMNO dan PAS malah seluruh rakyat Malaysia berkaitan isu Adib ini bukanlah berkaitan perkauman tetapi ia adalah kemanusiaan dan keadilan dalam institusi perundangan negara.

“Keputusan mahkamah hari ini juga telah memihak kepada keluarga Adib dan ia adalah kemenangan rakyat Malaysia. Akhirnya kebenaran telah ditegakkan.

“Jadi kami mendesak agar Peguam Negara letak jawatan ataupun direhatkan kerana dia tidak layak bergelar Peguam Negara,” ujar beliau kepada media di perkarangan Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan punca kematian anggota bomba, Mohd Adib akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.

Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematiannya.

Turut hadir mendengar keputusan inkues itu adalah abang dan tunang Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Asraf dan Nurul Najihah Mohd. Radzi serta peguam keluarga, Shazlin Mansor.

Bagaimanapun bapa arwah, Mohd. Kassim Abdul Hamid tidak hadir mendengar keputusan inkues itu.

Selain itu Mahkamah turut menyalahkan pihak FRU dan polis yang gagal mengawal rusuhan yang berlaku sebelum insiden Muhammad Adib.

Untuk rekod, prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar telah berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.