Inkues Kes Muhammad Adib: Semoga Keadilan Ditegakkan Buat Allahyarham

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pengamal undang-undang, Adnan Seman menyeru semua mendoakan agar keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dapat ditegakkan memandangkan Mahkamah Koroner akan membuat keputusan kes esok, Jumaat.

Tanpa niat mencampuri mahkamah, peguam yang berpengalaman hampir dua dekad itu berpandangan terdapat kemungkinan dua keadaan keputusan mahkamah.

“Saya tidaklah berniat untuk mencampuri mahkamah. Pandangan peribadi saya meneliti kes Muhammad Adib dari awal, ada dua perbezaan pendapat dari keterangan pakar forensik patologi iaitu Profesor Dr Shahrom Abdul Wahid (dari United Kingdom) dengan Dr Ahmad Hafizam Hasmi (Hospital Kuala Lumpur), ada dua keadaan.

“Ada dua kemungkinan sama ada keputusan kemalangan ataupun dibunuh, tetapi dibunuh oleh orang yang tidak diketahui. Maksudnya, pada akhirnya inkues ini berjaya membuktikan bahawa Arwah Adib dibunuh oleh orang yang tidak diketahui tetapi untuk pihak polis menyiasat lanjut agak susah tetapi boleh disiasat maknanya tidak mustahil siasatan boleh diteruskan sehinggalah polis mengambil keputusan untuk memberhentikan siasatan sebab kena panggil orang, tiada siapa saksi mata yang nampak siapa yang pukul.

“Kalau kita lihat keterangan-keterangan inkues (kita baca) kalau polis siasat, itulah ruang lingkupnya sama macam mana inkues buat. Maknanya akan panggil setiap orang yang terlibat yang kata nampak tapak kaki, saya dengar orang tengah kena pukul, saya dengar seorang pegawai bomba kena pukul,” ujarnya ketika menjadi tetamu dalam temubual pada program Sinar Live bertajuk ‘Inkues Apa Yang Perlu Kita Tahu’ di sini, semalam anjuran Sinar Harian.

Selain dua keputusan tersebut, mahkamah juga katanya boleh membuat keputusan inkues sebagai keputusan terbuka (open verdict) iaitu tidak tahu apa punca kematian sama ada mati dipukul atau mati dibunuh.

Adnan turut menjelaskan terdapat beberapa sebab sesuatu kes diadakan inkues antaranya seperti punca kematian tidak jelas dan apabila sesuatu kematian itu menimbulkan polemik di pihak awam serta kepentingan masyarakat yang cukup besar sepertimana kes Arwah Adib.

Untuk rekod kes ini membabitkan pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban tragedi berdarah dalam rusuhan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 26 November 2018.

Pada 16 Julai lalu, bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim memfailkan permohonan perintah komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.