Sejarah Hitam Negara, Tommy Thomas Memalukan Sistem Perundangan

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran daripada Mahkamah Koroner Shah Alam untuk memulakan prosiding terhadap Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas telah mencatat satu sejarah hitam dalam sistem perundangan negara.

Jelas beliau, tidak pernah terjadi dalam negara ini Peguam Negara di kehendaki menjawab dalam prosiding atas pertuduhan menghina mahkamah.

Peguam Negara bakal dihadapkan ke mahkamah bagi menjawab prosiding penghinaan mahkamah kerana telah mendahului mahkamah dalam memberi keputusan berkaitan kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib.

“Ini adalah satu peristiwa besar kepada sistem perundangan negara kita. Peguam Negara sepatutnya berkecuali namun dalam kes ini Peguam Negara dilihat cuba menentukan keputusan kes dan cuba mempengaruhi hakim melalui afidavit yang dikeluarkan.

“Tidak pernah berlaku Peguam Negara akan dihadapkan untuk menjawab prosiding penghinaan mahkamah. Ini amat memalukan negara kita. Kalau terjadi di negara lain Peguam Negara pasti sudah letak jawatan,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam bual bicara ‘Nothing To Hide’ yang bertajuk ‘Penyatuan Ummah: Jaminan Untuk Semua Kaum’ semalam.

Tambah Ismail, apa yang terjadi ini adalah satu kes besar dan sekiranya seseorang itu menjaga integriti dan maruah diri pastinya individu terbabit telah meletak jawatan.

Berbicara lebih lanjut berkaitan kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam Ismail menjelaskan, ianya adalah akibat daripada tindakan Peguam Negara sewakti kes perbicaraan Allahyarham Adib yang mana Peguam Negara telah mendahului mahkamah di dalam membuat keputusan.

“Dalam kes kematian Allahyarham Adib, pihak polis di peringkat awal telahpun buat kenyataan bahawa punca kematian tersebut ada unsur-unsur jenayah dan di Parlimen pun Menteri Dalam Negeri telah buat kenyataan rasmi wujudnya unsur-unsur jenayah.

“Bila Adib meninggal dunia Timbalan Ketua Polis Selangor telah mengeluarkan kenyataan, kes cubaan membunuh akan diubah kepada membunuh. Maknanya, walau tidak diumum oleh mahkamah, tetapi dari siasatan awal polis telah mengatakan ada unsur-unsur jenayah dalam kematian Adib.

“Tetapi pihak Jabatan Peguam Negara melalui ketua pendakwaan inkues telah mengeluarkan satu afidavit dan salah satunya mengatakan Adib tidak dipukul oleh sesiapapun. Ini merupakan satu tindakan yang amat serius sebab sewaktu mahkamah sedang membicarakan kes ini, Peguam Negara telah membut keputusan sendiri bila keluarkan afidavit Adib tidak dipukul. Ini dianggap oleh mahkamah satu subjudis dan satu penghinaan kepada mahkamah sebab Peguam Negara buat keputusan penghakiman pra matang sebelum hakim,” jelas beliau.

Persoalan kedua yang dibangkitkan pula jelas Ismail adalah berkaitan pengguguran peguam Shazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaa Tempatan (KPKT), bomba dan keluarga Adib.

“Shazlin dilihat berlainan nada dengan Jabatan Peguam Negar dan ini berkemungkinan akan berlaku percanggahan antara Shazlin dan Peguam Negara sekaligus mengganggu apa yang telah mereka rancang.

“Sebab itu semasa saksi 29 dipanggil, Peguam Negara minta Shazlin dikeluarkan atas alasan ‘conflict of interest’. Ini juga dilihat sebagai tindakan yang bertentangan hanya kerana Shazlin tidak senada dengan kehendak Peguam Negara, kemungkinan Peguam Negara sudah tahu ke mana hendak dihalakan keputusan kes tersebut,” ulas beliau lagi.

Justeru jelas beliau, Peguam Negara harus segera meletak jawatan kerana dia sememangnya tidak layak dan gagal menjadi seorang yang berkecuali. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.