Muafakat Nasional, Mahasiswa Dan Nilai Integriti Pemimpin

Pada 25 September 2019 berlangsung satu forum bertajuk “Keterlibatan Mahasiswa Dalam Politik dan Masyarakat” bertempat di Dewan Perdana 1, Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya anjuran Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya dengan kehadiran tetamu jemputan Timbalan Presiden UMNO, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hassan.

Sebagai rumusan daripada forum tersebut, Timbalan Presiden UMNO yang lebih mesra dipanggil Tok Mat mendorong mahasiswa dan mahasiswi untuk terus melibatkan diri dalam program kesatuan, organisasi dan pertubuhan dalam persekitaran universiti berpandukan tiga perkara iaitu pertama bina integriti diri yang tidak dipersoal orang ramai.

Hal ini bertepatan dengan kehendak politik semasa yang mementingkan soal integriti para pemimpin, jika hilang asas ini maka hilanglah kepercayaan rakyat kepada pemimpin tersebut.

Perkara kedua yang ditekankan adalah ilmu dan pengetahuan. Mahasiswa yang berminat untuk menjadi pemimpin perlulah memastikan pengisian ilmu di dada mencukupi dan tamatkan pelajaran sebelum menceburi politik secara aktif kerana mencari ilmu itu paling mustahak.

Perkara ketiga yang perlu ada bagi seorang pemimpin adalah sikap merendah diri dan bertanggungjawab. Rakyat akan kenang seseorang pemimpin itu jika sifat ini ada dalam dirinya serta rajin turun ke kawasan melihat keluh kesah rakyat tetapi jika sebaliknya maka sudah semestinya akan dibenci rakyat.

Namun begitu, apa yang lebih menarik dalam sesi forum tersebut ialah soalan yang diajukan oleh salah seorang pelajar yang bertanyakan adakah Muafakat Nasional UMNO-PAS akan mendiskriminasikan kaum lain?

Jawapannya cukup mudah diberikan, sepanjang 61 tahun pemerintahan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) tidak ada satu kaum pun dipinggirkan malah BN begitu komited menjaga kestabilan masyarakat majmuk berpandukan hak dan keperluan yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Turut disentuh adalah berkaitan dengan ekonomi semasa yang dilihat semakin menguncup. Persoalan yang dilontarkan, ke mana perginya pinjaman yang dibuat oleh kerajaan, duit hasil penjualan asset-aset negara yang tidak dirasai oleh rakyat Malaysia malah semakin banyak bantuan dan insentif kerajaan dipotong sejak kerajaan baru memerintah.

Oleh sebab itu, beliau mengajak mahasiswa dan mahasiswi untuk mengundi dan memilih pemimpin berdasarkan kewajaran akal fikiran bukannya menggunakan hati dan perasaan takut kelak menyesal tak sudah.

Walaupun umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun yang telah dipersetujui oleh blok pembangkang tetapi sebagai nilai tambah pendaftaran sebagai pengundi perlulah secara automatik bagi memudahkan urusan rakyat yang tinggal di luar bandar.

Konklusinya, masa hadapan negara bergantung kepada golongan muda khususnya mahasiswa-mahasiswi untuk berfikiran waras dan matang serta tidak mudah diperguna oleh sesetengah pihak untuk kepentingan politik peribadi.

Muafakat Nasional adalah satu alternatif kepada rakyat selepas kerajaan baru yang ada hari ini dilihat lebih banyak menyumbang kepada kegelisahan dan keresahan rakyat, apatah lagi isu-isu sensitif semakin menular sehinggakan perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan juga mula dipertikai.

Apa yang pasti, pelajar perlu menjadikan universiti sebagai gedung ilmu dan pusat untuk melatih diri menjadi bakal seorang pemimpin negara yang produktif dan dinamik kerana anak-anak muda cerminan masa depan negara, jika baik coraknya maka cerahlah masa depan negara tetapi jika buruk budi pekertinya maka buruklah buat negara yang kita cintai.

Salam perjuangan

AIMAN JA’APAR

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.