Kerajaan Pentadbiran PH Terus Pinggir Golongan Belia, Pembaharuan Langsung Tak Ada

ALOR SETAR, 26 Sept – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Aminuddin Omar berkata, kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak melakukan sebarang pembaharuan dalam memperkasakan golongan belia seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jelas beliau yang merupakan bekas EXCO Belia dan Sukan Kedah, sebaliknya PH hanya terus menggunapakai kebanyakan kebanyakan dasar dan polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dahulu namun ianya telah ditukar nama.

“Persatuan–persatuan belia sudah tidak diberi peruntukan pentadbiran persatuan seperti yang diberikan dahulu oleh Kerajaan BN. Ketika BN memerintah, setiap Majlis Belia Negeri akan mendapat peruntukan pentadbiran sebanyak RM80 ribu setahun dan Majlis Belia Daerah akan mendapat RM40 ribu setahun untuk diagihkan kepada persatuan–persatuan belia di bawah Majlis Belia berkenaan.

“Kini bukan sahaja tiada peruntukan tetapi peranan Majlis Belia Negeri juga dipinggirkan dengan tidak melantik pemimpin di kalangan pimpinan belia untuk menjadi Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di negeri-negeri tetapi melantik dikalangan orang politik parti kerajaan,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Sembang Kopi-O bertajuk ‘Pertanian Yang Semakin Mundur dan Belia Yang Dipinggirkan’ anjuran UMNO bahagian Alor Setar semalam.

Tindakan ini jelas membuktikan Menteri Belia dan Sukan mengamalkan kronisme dalam pelantikan Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan KBS di negeri-negeri dengan melantik seramai 13 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bagi mengisi jawatan Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan KBS di negeri-negeri.

Selain itu bidas Aminuddin, sehingga hari ini golongan belia masih ternanti-nanti janji kerajaan untuk menyediakan satu juta peluang pekerjaan.

“Maka saya berharap di bawah pembentangan Bajet 2020 bulan depan, perkara ini akan menjadi antara tumpuan utama untuk diselesaikan kerana kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia iaitu melebihi 10 peratus.

“Kegagalan kerajaan menangani peningkatan kadar pengangguran ini menyebabkan negara kini berada di belakang negara-negara jiran lain termasuk Thailand.

“Di Kedah ini pula, golongan belia masih menanti litar lumba yang dijanjikan akan diteruskan pembinaannya (projek BN) kerana apa yang diketahui litar lumba ini akan menjadi litar lumba Antarabangsa seperti litar Sepang tetapi selepas PH menjadi kerajaan negeri, tiada lagi litar lumba rakyat untuk digunakan oleh golongan belia,” bidas beliau.

Aminuddin seterusnya berkata, selain daripada menunaikan janji untuk menyediakan peluang pekerjaan, kerajaan PH juga perlu mengembalikan semula subsidi yang dipotong untuk golongan belia melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Banyak subsidi dipotong menyebabkan yuran pengajian dan asrama di IPT kini meningkat. Itu belum lagi potongan subsidi untuk pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) melanjutkan pengajian di luar negara,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.