Tommy Thomas Wajar Letak Jawatan, Gagal Berfungsi Tegakkan Keadilan – Rosni Zahari

KUALA LUMPUR 25 Sept – Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari bertegas Jabatan Peguam Negara haruslah berfungsi untuk menegakkan keadilan kepada semua pihak dan bukannya bersikap memilih kasih.

Jelas beliau, prosiding kes Mahkamah Tinggi Shah Alam beberapa hari lalu telah memutuskan bahawa pemohon (Mohd Kassim Abdul Hamid iaitu bapa Allahyarham Muhammad Adib) telah menunjukkan secara prima facie bahawa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

Katanya, kredibilti Tommy Thomas dianggap tidak profesional dalam menjalankan tugasnya dan ianya amat bercanggah dengan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau Peguam Negara diputuskan secara prima facie oleh mahkamah terlibat dalam ‘Scandalized Proceeding’ bermakna pada dasarnya peguam negara tersebut telah hilang kelayakan sebagai seorang peguam negara.

“Sebagai seorang yang bermaruah (jika masih ada), saya mengesa dan mendesak peguam negara untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

“Tak perlulah nak tunggu sampai penghakiman atas penghinaan mahkamah atau ‘committal presiding’ diambil… ‘please resign’,” ujarnya kepada UMNO-Online, di sini.

Tambahnya, sudah tiba masanya Tommy meletak jawatan kerana terlalu banyak melakukan kesilapan yang selayaknya tidak dilakukan sebagai seorang peguam negara.

Rosni menjelaskan sebagai rakyat Malaysia yang sangat peka dengan perkembangan semasa terutamanya yang melibatkan proses undang-undang, proses ini harus berjalan dengan seadil-adilnya.

“Kedudukan mahkamah adalah institusi yang sangat penting dalam menegakkan keadilan selaras dengan kedudukannya. Rakyat perlu diyakini dengan pentadbiran keadilan, sistem kehakiman agar maruah dan integriti mahkamah akan terus terpelihara.

“Harapan kami proses seterusnya akan berjalan secepat mungkin agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya lagi.

Untuk rekod kes ini membabitkan pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban tragedi berdarah dalam rusuhan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 26 November 2018.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.