Bajet 2020: Kembalikan Bantuan Sara Hidup Pesawah

ALOR SETAR, 25 Sept – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah Datuk Othman Aziz mendesak agar kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk memasukkan kembali bantuan sara hidup pesawah sebanyak RM200 sebulan dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober 2019 nanti.

Jelas beliau, bantuan sara hidup tersebut amat penting buat para pesawah kerana ia dapat membantu sementara mereka menunggu hasil dapat dituai.

“Pemberian RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan pertama sementara menunggu hasil tuaian padi dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150 juta telah diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada pembentengan Bajet 2018.

“Bantuan ini telah dapat meringankan beban seramai 325,518 pesawah seluruh negara termasuk pengusaha padi bukit di Sabah dan Sarawak namun ianya terhenti apabila pucuk pimpinan kerajaan bertukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Othman, para pesawah terpaksa menunggu selama 115 hari sebelum hasil padi dapat dituai dan dalam tempoh tersebut mereka tiada pendapatan.

“Ini membuatkan para pesawah terpaksa berhutang dengan orang tengah atau ‘tauke’ kilang padi untuk menampung perbelanjaan mereka sementara menunggu hasil tuaian dan dikenakan faedah pula .

“Antara tujuan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan bantuan sara hidup pada pesawah ini dulu supaya aktiviti orang tengah dapat dikurangkan dengan mengurangkan kebergantungan pesawah kepada mereka.

“Menyedari kesusahan mereka inilah kita dulu beri bantuan tapi sekarang bantuan ini ditarik pula,” bidas beliau.

Tegas Othman, Kerajaan pimpinan PH perlu sedar bahawa golongan pesawah inilah yang membanting tulang untuk mengeluarkan makanan kepada 30 juta rakyat dalam negara dan seharusnya perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan.

“Justeru saya mendesak supaya kerajaan mengembalikan bantuan saraan kepada pesawah selain mengekalkan segala insentif dan subsidi yang pernah diberikan oleh kerajaan BN dahulu .

“Ini untuk memastikan pengeluaran makanan ruji rakyat Malaysia terus terjamin dan dapat dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan pada beras import,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.