Wakili Tertuduh Kes Jual MyKad, MIC Desak Rayer Keluar Dap

PULAU PINANG 23 Sept. – MIC negeri mendesak Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer keluar daripada DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas sekiranya mahu terus menjadi peguambela kepada salah seorang tertuduh dalam perbicaraan kes penjualan MyKad.

Pengerusi MIC negeri, Datuk M. Nyanasegaran berkata, tindakan Rayer menjadi peguambela dalam kes itu mewujudkan konflik kepentingan yang mana beliau sebagai seorang Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan mewakili individu yang dituduh oleh kerajaan sendiri terlibat dalam sindiket menjual MyKad.

Menurut beliau, tidak dinafikan sebagai seorang peguam, Rayer berhak mewakili mana-mana individu di mahkamah, namun dalam konteks politik perkara itu disifatkan tidak masuk akal.

Malah, katanya, Rayer berkemungkinan besar menjadi Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan yang pertama yang turut mewakili seseorang yang dituduh oleh Kerajaan Persekutuan di mahkamah.

“Kebimbangan kami adalah kerana perkara ini melibatkan kedudukan moral Rayer sebagai seorang Ahli Parlimen yang mewakili parti pemerintah.

“Di Dewan Rakyat, Rayer mewakili kerajaan yang berjaya menghentikan sindiket penjualan MyKad manakala di mahkamah, Rayer juga mewakili individu yang dituduh menjual MyKad sebagai peguambelanya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 12 September lalu, enam individu termasuk Penolong Pengarah JPN negeri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad sah kepada warga asing.

Dalam kes itu, Rayer turut bertindak mewakili salah seorang tertuduh iaitu Datuk Lai Chin Wah.

Menurut Nyanasegaran, tindakan Rayer itu jelas menunjukkan wujudnya konflik kepentingan dan menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar Rayer dalam isu berkenaan.

“Mengapa Rayer sebagai Ahli Parlimen kerajaan sibuk menjadi peguambela individu yang dituduh oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri berhubung penglibatannya dalam sindiket ini?” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.