Kementerian Pertanian Digesa Lebih Serius Bela Nasib Pesawah Dan Pengilang Kecil

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani lebih serius dalam membela nasib pesawah dan seluruh rantaian padi bagi mengelakkan wujudnya monopoli.

Jelas beliau, permasalahan ini perlu dipandang serius kerana sekiranya terjadinya monopoli kilang beras maka harga beras akan ditetapkan mengikut kehendak mereka sendiri.

“Hari ini saya berjumpa dengan Persatuan Pengilang Padi dan Beras Malaysia bagi membincangkan permasalahan mereka sejak kebelakangan ini. Mereka melahirkan rasa kesal dengan sikap Menteri Pertanian yang enggan berjumpa untuk berbincang. Memandangkan kuota Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang bakal berakhir pada Januari 2021, jadi kementerian harus mengemukakan apakah model yang bakal menggantikan model lama.

“Dulu, Bernas diberi tanggungjawab untuk menjaga semua pengilang dan pesawah tetapi selepas 2021, siapa yang akan menjaga mereka ini? Sekarang ini, kilang Sinor Malay yang dulunya ada 130 buah sekarang hanya tinggal 10 manakala kilang bumiputera yang dulu ada 203, sekarang hanya tinggal 12.

“Dulu kita hadkan dari segi kuota tetapi sekarang tidak ada lagi. Katakan padi di sesuatu kawasan ada kilang maka pesawah akan hantar padi ke kilang tersebut tetapi sekarang kerana tidak ada had kuota yang ditentukann oleh kerajaan maka pesawah akan hantar padi kepada kilang yang jauh. Dulu… di situ ada kilang di situlah diproses sekarang tidak lagi begitu,” ujar beliau yang juga Naib Presiden UMNO selepas menerima kunjungan hormat daripada anggota persatuan terbabit.

Tambah Ismail, antara isu yang dibangkitkan dalam pertamuan terbabit adalah mengenai subsidi benih, kuota pengilang dan juga monopoli kilang besar.Selain itu jelas beliau yang juga bekas menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, isu ini juga akan dibawa ke Dewan Rakyat apabila Dewan mula bersidang pada 7 Oktober ini namun beliau berharap Kementerian Pertanian akan dapat menyelesaikan isu ini sebelum Sidang Dewan bermula Oktober depan– UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.