Tidak Ada Karakteristik Sesuatu Kaum Malas… Bukan Hanya Melayu, Bangsa Lain Pun Ada Yang Malas

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak ada karakteristik yang mengatakan sesuatu kaum itu malas tetapi yang ada hanyalah ‘orang itu’ malas.

Jelas beliau, kerana itulah sesebuah kerajaan itu harus mendorong golongan yang kurang keberdayaan ini untuk terus maju dan membina ekonomi yang lebih baik.

“Sebagai contoh, bila saya jadi Menteri Besar, antara perkara yang cuba saya usahakan adalah untuk membawa orang Melayu yang kurang ini supaya mereka boleh lebh maju dalam perniagaan.

“Saya pernah bertanya kepada satu pengusaha ini, kenapa tidak buat pembungkusan yang lebih baik sebab dalam kerajaan ada agensi yang boleh bantu, jawapan mereka… cukup apa yang ada, boleh hantar anak ke universiti, boleh pergi haji, cukup. Ini realiti mereka.

“…sedangkan yang kita hendak lihat adalah potensi untuk mereka pergi lebih jauh. Di sini peranan kerajaan untuk duduk berbincang dan cuba ubah minda mereka… bangunkan orang Melayu. Kita kena ubah ‘mind set’ mereka ini. Bukan sekadar melabel orang Melayu malas atau sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam forum anjuran Puteri UMNO Malaysia di bawah Biro Strategik Komunikasi yang bertajuk ‘Cabaran Dasar Ekonomi Baru Di Era Malaysia Baru’ di Dewan Tun Ismail, PWTC, hari ini.

Menyokong hujah tersebut, seorang lagi panel jemputan, bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau sama sekali tidak bersetuju apabila ada pihak yang melabel orang Melayu malas.

“Ekonomi negara sejak merdeka sehingga Mei 2018… selama 61 tahun, kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang berjaya membangunkan negara. Kalau tengok ekonomi kita pada 1957, cuma sekitar 4 bilion lebih kurang… 2018 kita ada hampir 1.31 trilion. Kalau orang Melayu malas, bagaimana mereka bangunkan ekonomi?

“Cuma masalah kita adalah rakyat kita latar belakangnya berbeza terutama dari segi kaum. Lepas merdeka, kaum Melayu tertinggal ke belakang, bila buat DEB pula, kita nak bawa mereka untuk bersaing tapi dalam masa 20 tahun mereka banyak langgar peraturan dan masa itulah wujud Ali Baba.

“Sekarang ini ramai anak Melayu yang boleh ‘deliver’. Persoalannya bagaimana hendak ramaikan Melayu yang berkualiti. Soal malas ini tidak wujud kerana malas bukan hanya pada Melayu, ada juga Cina dan India yang malas,” tegas beliau.

Mengupas mengenai DEB, seorang lagi panel jemputan iaitu Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, dasar adalah untuk membasmi kemiskinan dan dasar ini adalah ‘sharing the cake’ bukannya mengagihkannya.

“Formula dasar DEB adalah 30, 40, 30… 30 untuk Bumi, 40 bukan Bumi dan 30 lain-lain. Ini adalah satu kompromi. Kalau ikut peratus penduduk, penduduk bumi 60 peratus tapi kenapa kita hanya ambil 30 peratus sedangkan kita ramai? Jawapannya kerana kita berkompromi dan kita mahu kestabilan negara.

“Sebab itu saya tidak mahu berbincang dengan mereka yang kata dasar ini memerah mereka yang bukan Melayu sebab sebenarnya kita sudah berkompromi dengan mereka melalui dasar ini.

“DEB berjaya membasmi kemiskinan dan mengubah penyusunan semula pekerjaan kaum dan sebagainya tapi antara gejala yang menghantui kita adalah dari segi perlaksanaan. Kita silap pilih Bumiputera di mana kita pilih yang pandai bodek dan melobi,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.