Gali Potensi, Susun Strategi Demi Sabah Yang Lebih Baik – Dr Ahmad Zahid


KOTA KINABALU, 21 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar UMNO Sabah menggali potensi-potensi yang ada.

“Kita harus melihat apa potensi yang ada pada kita, yang ada pada bumi Sabah dan apakah tawaran baharu yang harus kita tawarkan kepada rakyat.

“Dan apakah harapan yang harus kita penuhi apabila kita mengambil alih kerajaan. Empat aspek ini harus difikirkan,” katanya.

Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen UMNO Sabah di Dewan Utama, Bangunan UMNO Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan barisan kepimpinannya, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut hadir ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO antaranya seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Rosni Sohar serta barisan kepimpinan MCA dan PAS negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Zahid berkata untuk memenangi pilihan raya, melihat kelemahan-kelemahan seteru politik adalah satu seni cabang politik tetapi asas dan pokok utama bagi pendukung dan pejuang parti adalah aspek-aspek yang digariskannya itu.

“Ini supaya percikan maruah yang telah dikotorkan di muka, di badan kita adalah percikan sementara.

“Tidak ada orang lain yang boleh membasuh kotoran yang telah terkena di muka dan badan kita… hanya diri kita, hanya pemimpin UMNO di Sabah, di peringkat bahagian-bahagian, di cawangan-cawangan dibantu rakan baru kita dari PAS dan MCA,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu tambahnya, konvensyen yang diadakan adalah langkah yang tepat bagi menggali serta menggarap potensi yang ada.

“Maka potensi ini harus digali. Kita lihat manifesto tidak lagi dipercayai maka kita tidak berhajat melakukan sesuatu bagi menggantikan manifesto yang tidak pernah dipenuhi, maka di konvensyen ini kita harus menggariskan apakah perkara-perkara baharu untuk menjadi potensi yang ada pada kita, di bumi Sabah.

“Sabah dan Sarawak mempunyai potensi yang cukup besar dan hasil bumi Sabah mesti dipulangkan kepada rakyat Sabah. Hasil percukaian dari Sabah mesti diberikan kepada kerajaan dan orang Sabah, malah orang Sabah hendaklah juga diberi keutamaan untuk menjawat jawatan-jawatan penting di negeri Sabah. Inilah potensi-potensi harus dilihat.

“Saya berjanji jika Putrajaya kita ambil alih semula insyaAllah, hasil daripada konvensyen pada hari ini untuk menggali potensi yang digarap, akan kita penuhi demi rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya.

Seterusnya Dr Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menambah, hala tuju perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Kita mempunyai hala tuju dan ini perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Strategi hendaklah dibuat secara ‘bilhikmah wabilhasanah’ (dengan hikmah dan bijaksana).

“Jangan kita kongsi strategi dengan pihak lain, apabila kita berkongsi strategi dengan orang lain, ia tidak lagi dinamakan strategi. Terus berjuang untuk menterjemahkan strategi kita.

“Strategi ini selain penggalian potensi, kita mahu memenuhi kekecewaan rakyat terhadap kegagalan kerajaan sekarang ini sama ada di Putrajaya atau di Kota Kinabalu,” tegasnya.

Tambah Dr Ahmad Zahid, tawaran baharu hendaklah disesuaikan mengikut kumpulan sasaran.

“Apa yang harus kita fikirkan tawaran baharu yang kita berikan mengikut segmentasi kumpulan sasaran. Di kalangan wanita, profesional, masyarakat luar bandar, di pinggir bandar dan di kawasan bandar.

“Kita harus mengetahui kemajmukan masyarakat Sabah berbeza dengan kemajmukan di semenanjung,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Dr Ahmad Zahid juga mengulas mengenai agenda penyatuan ummah.

“Penyatuan ummah bukan hanya untuk UMNO dan PAS sahaja, bukan untuk orang Islam sahaja… permuafakatan nasional ini adalah untuk semua bangsa, agama dan keturunan.

“Hanya orang yang takut, gementar sahaja merasa kegentaran. Kenapa merasa gentar? Kerana mereka tahu bahawa mereka sedang rapuh, retak menanti belah.

“Semangat baharu ini ada dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.