Tindakan Kerajaan PH Langgar Hak Asasi, Undang-undang PH Tak Berperikemanusiaan
PAYA JARAS, 20 Sept – Pakar Perundangan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Panjang Datuk Imran Tamrin berkata, tindakan kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) merobohkan kediaman hampir 100 buah keluarga di Kampung Paya Jaras Hilir adalah melanggar hak asasi individu secara amnya.
Jelas beliau, tindakan tersebut juga membuktikan bahawa kerajaan pimpinan PH ini melaksanakan undang-undang secara tidak berperikemanusiaan.
“Secara amnya tindakan oleh kerajaan ini memang tidak berperikemanusiaan dan telah melanggar hak asasi individu. Apa itu hak asasi individu? Ia adalah untuk mempunyai tempat tinggal yang selamat apatah lagi dalam cuaca yang berjerebu ini amat membahayakan.
“Dari sudut perundangan, walaupun pihak kerajan negeri mempunyai kuasa dari segi kanun tanah negara untuk merampas dan merobohkan rumah ini tetapi harus diingat, ia harus dilaksanakan mengikut prosedur dan lunas undang-undang.
“Rampas tidak salah kalau mengikut undang-undang yang betul tapi sekarang ini saya tidak nampak kerajaan negeri mengikut prosedur. Mereka tidak menyediakan penempatan sementara yang selamat untuk penduduk yang terbabit dan tidak ada keperluan mendesakpun bagi meroboh kediaman ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Pakar kesihatan daripada NGO Optimmum, Dr. Fathul Farisan pula berkata, tindakan kerajaan negeri ini adalah sesuatu yang amat tidak wajar dan membahayakan.
“Secara jujur bagi saya ia amat tidak patut. Dalam keadaan cuaca yang teruk, tindakan ini memberi kesan yang mendalam kepada mereka yang terlibat. Rumah ini tempat tinggal, tidak sepatutnya berlaku perkara seperti ini… terlalu gopoh dan tidak ambil kira dari segi keselamatan dan kesihatan.
“Kalau sekolahpun boleh tutup bayangkan anak-anak yang terbiar di bawah khemah sebegini,” ujarnya.
Dua hari lalu, kerajaan negeri telah mengambil tindakan untuk merobohkan hampir 100 buah rumah di perkampungan tersebut. Setakat hari ini hampir 3 buah rumah telah dirobohkan.
Namun amat malang, kerajaan negeri Selangor langsung tidak menyediakan sebarang penempatan sementara. Kini mereka yang terlibat tanya tinggal di bawah khemah yang disediakan atas ikhsan penduduk setempat. – UMNO ONLINE