Laungkan Kerajaan Negara Berkebajikan Tapi Kediaman Rakyat Di Roboh… Mana Janji PH
KUALA LUMPUR, 20 Sept. – Kerajaan Negeri Selangor tadbiran Pakatan Harapan (PH) ditempelak lantaran tindakan yang dianggap tidak prihatin dan tidak bersikap kemanusiaan apabila meroboh kediaman penduduk di Paya Jaras, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar berkata, tindakan yang dibuat oleh pihak terbabit langsung tidak mencerminkan kesungguhan kerajaan bagi membela rakyat.
“Dalam keadaan cuaca berjerebu sekarang ini, penduduk pula tidak ada tempat tinggal kerana kediaman mereka dirobohkan maka tentunya adalah sesuatu yang zalim kepada rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.
Ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, seharusnya kerajaan lebih bersifat prihatin dengan mengutamakan kebajikan penduduk setempat berbanding dengan perobohan kediaman yang dibuat ketika mereka masih lagi menghuni.
“Sepatutnya kerajaan lebih bertimbang-rasa dan mengutamakan kebajikan rakyat, ketahui permasalahan mereka, selami kerumitan yang dihadapi kerana saya yakin mereka tentunya bukan sengaja enggan berpindah dan tak mungkin mereka sengaja memilih perobohan dari pihak berkuasa seperti semalam,” katanya.
Jelas beliau, tentunya golongan penduduk berdepan kerumitan yang amat sangat, resah dan tidak tentu arah lantaran ketiadaan tempat tinggal dan ditambah pula dengan pelbagai aktiviti harian yang terjejas.
“Sekarang ini musim anak-anak berdepan dengan peperiksaan, ya… UPSR dah selesai tapi minggu depan ada PSRA, ada UPKK, ada PT3, SPM dan STPM pun masih belum selesai.
“Bagaimana anak-anak ini mahu menghabiskan pelajaran mereka dalam keadaan tidak berumah dan kenapa kerajaan tidak mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh mereka berpindah… sekurang-kurangnya biarlah sehingga musim peperiksaan selesai.”
Dalam masa yang sama beliau turut menyuarakan rasa kesal dengan sikap kerajaan yang masih terus gagal melunaskan janji menyelesaikan isu berkaitan dengan perumahan rakyat.
Sebelum ini katanya, dikatakan sistem serta tatacara pengurusan permohonan skim perumahan tersebut yang dilaksanakan menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dianggap sebagai meragukan kerana ada beberapa kes yang rekod pemohon ‘lesap’ daripada senarai LPHS malah lebih teruk jumlah yang dinyatakan di atas kertas tidak menjadi realiti
Semalam 32 daripada jumlah keseluruhan rumah di kawasan berkenaan iaitu 74 unit rumah, telah ditolak dengan jentera jentolak tanpa ada rasa ihsan untuk memanjangkan tempoh pengosongan.
Dilaporkan Kerajaan negeri Selangor mengambil keputusan untuk merobohkan kampung tersebut bagi projek pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir. – UMNO ONLINE