Guan Eng, Bukankah Mahathir Sendiri Yang Mahukan Penyatuan Umat Melayu Bumiputera?

1. Saya tidak pernah melihat ada parti politik yang cukup bermurah hati dan berbesar hati untuk memberikan kewarganegaraan kepada 1 juta lebih pendatang Cina dan India di Tanah Melayu sepertimana yang dilakukan oleh UMNO ketika mencapai kemerdekaan.

2. Saya percaya rakyat Sabah tidak akan semurah hati seperti itu untuk memberikan kewarganegaraan kepada 600 ribu pendatang di Sabah yang bakal diberikan Pas Sementara Sabah (PSS) oleh kerajaan Warisan-PH sepertimana yang dilakukan oleh UMNO terhadap satu juta pendatang Cina dan India di Tanah Melayu sebelum ini.

3. Saya tidak pernah membaca dan mendengar ada negara yang bermurah hati dan berbesar hati membenarkan sekolah-sekolah vernakular, kebebasan mengamalkan agama dan budaya dan diraihkan bersama oleh semua rakyat Malaysia. Dan ini adalah jasa besar UMNO yang moderat selama ini.

4. Apakah dengan kemurahan hati itu menunjukkan UMNO bersikap perkauman yang melampau seperti yang digambarkan oleh Guan Eng.

5. Apa salahnya jika penyatuan UMMAH dimeterai untuk memperkasakan Melayu dan Bumiputera? Bukankah ianya akan membawa kebaikan kepada penduduk majoriti di negeri Sabah dan Sarawak yang semakin tercicir di bawah pemerintahan kerajaan PH. Hari ini ekonomi Sabah telah mencatat kejatuhan ekonomi yang terburuk dalam sejarah negeri ini.

6. Sebenarnya Penyatuan UMMAH ini adalah respon dan refleksi daripada kecelaruan kerajaan PH pada hari ini yang tidur sebantal sekatil tetapi mimpinya lain-lain. Satu ketika mereka berkata tentang Malaysia Baharu dan moderat. Tetapi pada masa yang sama pemimpin-pemimpinnya tidak pernah berhenti dengan kata-kata perkauman yang melampau.

7. Lupakah Guan Eng dengan kenyataan rasis melampau oleh rakan DAPnya yang juga seorang menteri persekutuan YB Kulasegaran yang menyatakan bahawa orang melayu ini adalah pendatang?

8. Lupakah Guan Eng dengan kata-kata rasis rakan DAPnya YB Nga Kor Ming yang menyebut penyatuan Melayu UMNO-PAS akan menjadikan negara ini seperti Taliban?

9. Lupakah Guan Eng dengan kenyataan rasis dan menghasut rakan DAPnya P.Ramasamy yang mencabar orang-orang Melayu membawa ‘peristiwa hitam 13 Mei 1969’ kepada DAP?

10. Lupakah Guan Eng dengan kenyataannya sendiri yang tidak bertanggungjawab, melampau dan rasis yang keterlaluan apabila menyatakan bahawa penyatuan UMNO dan PAS adalah satu pengisytiharan perang ke atas orang bukan Melayu?

11. Lupakah Guan Eng dengan kenyataan sendiri YAB Perdana Menteri pada 5hb Julai lalu yang menyeru semua umat Melayu untuk bersatu agar dapat memperkasakan kuasa politik Melayu di negara ini?

12. Kenyataan Mahathir dan titik mula penyatuan UMMAH ini adalah respon dan refleksi kepada realiti pada hari ini bahawa agenda penyatuan umat Melayu Bumiputera adalah lebih mustahak dan penting apatah lagi tatkala satu persatu hak-hak dan kepentingan mereka sedang dirobek-robek dan dicarik-carik.

13. Peruntukan-peruntukan yang dulu dikhususkan buat golongan susah dan miskin, yang majoritinya golongan daripada Melayu Bumiputera, juga turut dikurangkan secara drastik dan mendadak.

14. Aset-aset dan syarikat-syarikat berkaitan Khazanah Nasional yang menjaga kepentingan Melayu Bumiputera selama ini juga turut dijual kepada negara asing yang sudah pastinya tidak berorientasikan hal ehwal umat Melayu Bumiputera.

15. Atas kesedaran inilah berlaku kebangkitan yang tidak pernah berlaku sejak pasca kemerdekaan. Umat Melayu Bumiputera sudah mula bangkit dari tidur lena yang panjang. Benarlah kata-kata para bijaksana “Jangan Ganggu Harimau yang Sedang Tidur”.

16. Moderat yang bagaimana diimpikan oleh Guan Eng? Adakah dengan menghapuskan keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera adalah definisi moderat Malaysia?

17. Bercakap tentang moderat, bukankah DAP adalah pendokong ekstrimisme di negara ini dengan membawa budaya demonstrasi keganasan melalui siri BERSIH sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda awam serta kecederaan serius seperti yang dimaklumkan sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin pada tahun 2012.

18. Bukankah parti-parti yang memegang tampuk kuasa pada hari ini bermula dengan siri-siri keganasan seperti reformasi 1998 dan siri-siri demonstrasi yang seterusnya. Inikah moderat Malaysia yang didambakan oleh Guan Eng?

19. Bukankah Guan Eng sendiri bangga digelar sebagai Khaliah Umar Abdul Aziz ketika mereka mengerjakan kerjasama politik bersama PAS di setiap pilihan raya umum pada tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013? Tetapi pada hari ini apabila sudah berkuasa mereka terus mengeji dan menghina parti yang pernah memenangkan mereka di dalam siri pilihan raya sebelum ini.

20. Guan Eng jangan cuba menghasut rakyat Sabah dan Sarawak dengan penyatuan UMMAH ini. Andainya penyatuan UMMAH itu untuk memperkasakan umat Melayu, ianya juga bersamaan dengan pemerkasaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

21. Apabila Melayu Perkasa, Bumiputera Sabah dan Sarawak pun akan turut menjadi perkasa sepertimana yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153.

22. Last but not least, saya ingin mengingatkan Guan Eng tentang Policy Talk yang dibuat oleh YAB Tun Mahathir sebelum PRU14 yang menjanjikan rakyat Sabah 20% royalti minyak dan pengembalian 40% daripada nilai cukai yang dipungut dari negeri Sabah. 16 bulan sudah berlalu, habuk pun tarak. Rakyat Sabah terus tertipu.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.