Himpitan Neo-Liberal… Jayakan Piagam Muafakat Nasional Untuk Manfaat Generasi Akan Datang
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Fahaman neo-liberal, sungguhpun telah terbukti merbahaya untuk ekonomi negara-negara seperti Amerika Syarikat, masih berusaha hendak bertapak dan berakar di negara kita, ujar Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Katanya, jurang kemewahan di antara kumpulan atasan dengan yang menengah dan rendah semakin melebar kerana fahaman neo-liberal itu.
Sehubungan itu, Shahrir berpandangan kewajipan kelima dalam Piagam Muafakat Nasional membuka peluang untuk pemikir dan cerdik pandai Malaysia untuk mengulangkaji kedudukan negara hari ini supaya dapat dirumuskan satu hala tuju sendiri yang boleh memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Kepada saya, kewajipan ini patut menggerakkan kesemua kita yang berminat untuk memikir dan membincang bersama bagi menghasilkan rumusan apakah rupa bentuk negara kita menjelang 10, 20 dan 30 tahun ulang tahun ke 100 Malaysia yang merdeka.
“Negara kita telah melalui berbagai fasa pembangunan ekonomi dari pengeluaran bahan mentah, perindustrian menggantikan import, perindustrian untuk eksport berasaskan input pekerja bergaji rendah, pembangunan sektor minyak dan gas sehinggalah kepada kebangkitan sektor perkhidmatan dalam negeri,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Kewajipan kelima dalam piagam itu menyebut:
“Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.”
Sabtu lalu, sejarah politik tanah air tercipta apabila dua buah parti terbesar orang Melayu/Islam menunjukkan kesepakatan merealisasikan agenda penyatuan ummah apabila secara rasminya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam Muafakat Nasional demi Malaysia yang lebih sejahtera.
Mengulas lanjut, Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda berkata Malaysia berada dalam kelas yang tersendiri dalam pembangunan ekonominya.
“Seiring pembangunan berasaskan teori ekonomi konvensional, Malaysia membangunkan juga sektor ekonomi dan kewangan Islam. Kini, kita menjadi sebuah negara yang ‘hybrid’ bentuk ekonominya, konvensional dan Islamik wujud seiring, yang benar-benar berbeza dari ekonomi negara-negara lain.
“Di samping menjemput pelaburan asing ke dalam negara, Malaysia juga melabur dalam bidang-bidang yang kita mempunyai kemahiran di luar negara. Seiringan dengan pelabur-pelabur tempatan, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs dan GLICs) merupakan pelabur besar di dalam dan luar negara untuk memberikan kestabilan kepada sektor-sektor terpenting negara,” tambahnya. – UMNO ONLINE