Kerajaan PH Raja Lelong Aset Negara – Azlan Man
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Mutakhir ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan satu lagi budaya baru mereka untuk tatapan rakyat Malaysia iaitu melelong aset negara, tempelak Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Bidasnya, sejak menguasai kerajaan pusat, PH-Dap hanya pandai melelong aset-aset utama negara.
“Ia bermula dengan penjualan IHH kepada Mitsui dari Jepun. Kalau nak disenaraikan memang banyak aset penting negara yang telah dijual oleh Raja Lelong Lim Guan Eng (LGE).
“Aset LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera), Sime Darby dan Telekom dah dilelong. Dengar desas-desus Petronas akan dijual juga. Raja Lelong LGE juga sedang mengintai aset-aset PNB (Permodalan Nasional Berhad).
“Terbaru MAHB (Malaysia Airport Holding Berhad) pula akan dijual kepada orang asing. Katanya MAHB akan berpindah milik kepada pemilik lapangan terbang Gatwick. Kenapa MAHB mahu dijual? Bukankah MAHB aset negara yang strategik dan menguntungkan? Soalnya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Azlan juga menimbulkan persoalan apakah muslihat sebenar Raja Lelong LGE mahu menjual MAHB dan aset-aset strategik lain milik negara yang menguntungkan.
“Apa yang dilakukan LGE mesti ditentang. Tindakannya merugikan rakyat dan negara. Tindakan LGE mesti dihentikan. LGE mesti dipaksa letak jawatan segera untuk selamatkan ekonomi dan negara Malaysia.
“Rakyat wajib bangun dan tuntut Raja Lelong LGE untuk letak jawatan segera! Rakyat wajib tuntut PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) diadakan segera untuk selamatkan ekonomi dan negara Malaysia dari perompak-perompak kelas pertama ini!
“Ayuh rakyat bangun dan tuntut PRU-15 diadakan segera,” gesa Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong.
Mengulas perkara berkaitan, Azlan berkata sebelum memenangi PRU-14, PH yang merupakan pembangkang ketika itu mendendangkan lagu hutang negara tinggi dan negara akan bankrap kerana kononnya hutang negara mencecah lebih RM1 trillion.
“Malangnya sebahagian besar rakyat termakan dan terdendang dengan irama lagu yang dimainkan PH ketika itu. Rakyat sebenarnya tidak bersalah kerana mereka tidak tahu situasi negara yang sebenarnya.
“Kerana asyik dengan dendangan PH itu, sebahagian besar rakyat terlelap dan dipejamkan mata akan situasi ekonomi sebenarnya. Mereka dilelapkan bahawa hutang negara sebenarnya hanya RM686 billion atau 50.4% dari KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), bukannya RM1 trillion. Bahawa simpanan antarabangsa mencecah RM430 billion. Nilai aset KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) meningkat kepada RM791 billion. Nilai aset Khazanah mencecah RM135 billion. Aset PNB mencapai RM279 billion. Tabung Haji kepada RM64 billion. Aset Petronas kepada RM128 billion dan LTAT kepada RM10 billion. Itulah prestasi sebenar negara di bawah BN.
“Manakala kadar pertumbuhan ekonomi negara pada 2017 telah mencapai hampir 6%. Ia adalah prestasi kedua terbaik di Asia. Dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat, mana mungkin negara akan bankrap? tegasnya lagi.
Tetapi tambahnya, itulah yang dipercayai oleh rakyat dan akhirnya rakyat membuat keputusan memberi kuasa pada PH yang kononnya akan memberikan nafas segar di bawah Malaysia Baru.
“Malangnya Malaysia Baru di bawah PH jauh lebih buruk prestasinya berbanding BN (Barisan Nasional) yang dituduh sebagai rejim kleptokrasi.
“Apa yang rakyat saksikan di bawah Malaysia Baru ialah satu budaya baru. Ada tiga komponen budaya baru yang dibawa PH sebaik-baik sahaja memegang kuasa: menfitnah – fitnahkan BN untuk berkuasa; menyalahkan orang lain atas kelemahan sendiri – bila buat keputusan salah terus letakkan kesalahan pada UMNO/BN; dan plagiarisma – jenama semula inisiatif Kerajaan BN,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE