Aset Negara Dijual Lagi: Bukti PH Kegagalan Terbesar Negara… ‘Menang Sorak Kampung Tergadai’


KUALA LUMPUR, 18 Sept – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris melihat Pakatan Harapan (PH) dan seluruh pimpinannya adalah kegagalan terbesar yang pernah dihadapi rakyat dan negara kerana memilih PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dan hari ini tidak ubah seperti ‘menang sorak kampung tergadai’.

Menurut beliau seluruh rakyat Malaysia amat risau dengan tindakan kerajaan PH yang semakin hari semakin menjahanamkan negara dengan penjualan aset-aset penting milik awam, gagal menangani isu keselamatan, kelembapan ekonomi serta pelbagai lagi yang akan memusnahkan masa depan negara ini.

“Hari ini dikejutkan dengan berita bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dilaporkan berada dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports.

“Jika hal ini benar berlaku, adalah suatu perkara yang amat malang dan menyedihkan bagi rakyat Malaysia kerana MAHB adalah simbol kejayaan negara dalam industri penerbangan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi penjualan pegangan MAHB bermaksud lapangan terbang seperti Kuala Lumpur International Airport (KLIA) secara tidak langsung akan dimiliki oleh syarikat asing dan kita akan kehilangan aset nasional.

Soal beliau bukankah ini ibarat suatu penghinaan apabila satu-satunya pintu masuk ke negara negara ini diuruskan oleh syarikat asing dan aspek kedaulatan nasional serta keselamatan juga menjadi taruhan jika benar perkara ini berlaku.

“Terdapat juga kemungkinan untuk berlakunya pengecilan pengurusan jika MAHB diambil alih syarikat asing dan hal ini menyebabkan anak-anak tempatan yang bekerja dengan MAHB diberhentikan.

“Kerajaan PH adalah perosak kepada syarikat-syarikat tempatan kerana MAHB adalah syarikat milik kerajaan yang mencatatkan keuntungan tinggi iaitu RM727.30 juta pada Disember 2018 dan mempunyai hasil sebanyak RM4.85 bilion.

“Syarikat yang menjadi simbol kepada negara seharusnya dibantu supaya menjadi lebih berdaya saing di arena antarabangsa, bukannya dijual kepada syarikat asing,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.