Piagam Muafakat Nasional Tak Lahirkan Kebencian, Tekad Penyatuan Semua Peringkat

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Tempoh dua hari yang baru berlalu (13 dan 14 September 2019) sememangnya mendatangkan kesyahduan luar biasa di dalam hati yang secara peribadi, ini bukan sekadar ‘penyatuan’ politik yang berada di permukaan; tetapi jauh terpasak di dalam diri setiap mereka yang hadir.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata detik istimewa penyatuan ummah ini bermula dengan khutbah Jumaat yang disampaikan pemimpin utama PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Khutbah yang disampaikan cukup jelas dan menyentuh hati. Semuanya berkisar soal keperluan umat memuliakan perpaduan dan penyatuan.

“Agenda ceramah malam semalam tidak diisi dengan elemen kebencian dan kemarahan kepada kerajaan. Yang lebih diutamakan soal ‘kita’ dan ‘perpaduan’. Soal ‘kita’ yang perlu membina kekuatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tegasnya, hari ini, segala yang hanya pernah digambarkan sebagai ‘mimpi politik’ telah menjadi kenyataan.

“Piagam telah kita persiapkan. Kerjasama akan kita perkukuh di setiap lapisan pengaruh dan persefahaman. Hampir semua individu yang mempunyai pengaruh dan kekuatan; berada di dalam Dewan Merdeka menyaksikan tekad kerjasama dua orang pimpinan utama UMNO dan PAS.

“Lebih manis dan molek, kedua-dua pemimpin tidak menggunakan pentas tersebut sebagai medan membina kebencian kepada kerajaan. Latar cerita, tertumpu kepada teras ‘persaudaraan’ dan ‘kekuatan ummah’ yang sebenar.”
Katanya, HPU ini akan memula gelombang luar biasa.

“Air mata yang mengalir di pipi mereka yang hadir, baik daripada parti UMNO dan Pas bukan permainan dan sandiwara politik. Ia air mata kesedaran, bahawa hanya dengan izin-Nya; tradisi dan legasi perseteruan, menjadi teras pengukuh silaturrahim dan kasih sayang antara dua parti.

“Sama-samalah kita berdoa, permulaan kepada penyatuan ini akan terus mendapat rahmat dan hidayah Allah SWT. Mungkin ada yang berkata, ini penyatuan yang berniat ‘politik’ dan kuasa semata-mata. Masa dan suasana akan menjadi bukti, bahawa penyatuan ini bersifat langkau politik.

“Secara peribadi, detik dan saat yang dilalui 48 jam yang lalu cukup istimewa dan luar biasa. Kepada mereka yang sempat hadir, pasti merasai ‘getar naluri’ yang berbeza. Kepada lebih 700,000 yang mengikuti melalui media sosial,
pastinya merasai gelombang istimewa ini.”

Ujar beliau lagi, kita pernah berbeda fikrah kerana politik. Kita pernah berbeza pandangan kerana ideologi. Namun, semalam dan hari ini – kita meletakkan Islam dan perpaduan di landasan dan tingkat kepentingan yang jauh lebih tinggi.

“Pasti akan ada kelompok yang benci. Pasti akan ada kumpulan yang tidak senang. Pasti akan ada mereka yang dengki dan iri. Biarkanlah mereka dengan perasaan itu – asal kita sendiri tahu; bahawa kita lakukan ini dengan semangat yang ikhlas; dan cita yang murni.

“Bersyukur ke hadrat Allah SWT, saya mampu menjadi saksi kepada ‘peristiwa bersejarah’ ini. Saya yakin, inilah impian tuan-tuan guru, pejuang kemerdekaan, para ulama’, asatizah, umat Islam; sejak beberapa dekad yang lalu hingga ke hari ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT – apa yang mustahil; telahpun menjadi kenyataan.” – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.