UMNO-PAS Ambil Tanggungjawab Moral, Penyatuan Ummah Bukan Rasis… Tawaran Baru Untuk Semua

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi tumpuan orang ramai sempena Himpunan penyatuan Ummah (#HPU914) dan sejarah tercatat apabila kedua-dua Setiausaha Agung (SUA), Tan Sri Annuar Musa (SUA UMNO) dan Datuk Takiyudin Hasan (SUA PAS) menyampaikan ucapan alu-aluan masing-masing sebagai permulaan kepada program kedua-dua parti politik Melayu Islam tertua negara itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapanya berkata himpunan pada hari ini telah menimbulkan rasa gesah dan gelisah dikalangan sebahagian rakyat atau pemimpin-pemimpin tertentu.

Malah tambah beliau lagi ada juga yang merasa iri hati dan sedikit sebanyak dilanda perasaan dengki selain cuba melabelkan himpunan ini dengan pelbagai ungkapan hinaan dan cercaan yang berbaur negatif.

“Pesan kepada mereka. Himpunan ini himpunan rakyat yang cintakan keamanan, himpunan ini himpunan rakyat yang cintakan persaudaraan, pesan kepada mereka himpunan ini adalah himpunan rakyat yang mahukan penyatuan, yang cintakan perpaduan, ini adalah perhimpunan ‘Hubbul Watan Minal Iman’.

“Maka tidak perlu mereka risau. Tidak ada yang boleh menewaskan kita, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang gelombang kita kecuali dengan izin Allah. Insya-Allah kita akan terus mara ke depan bermula pada hari ini,” katanya.

Beliau pada masa yang sama mengungkapkan serangkap pantun.

Kayu berukir sibunga kantang,
Seni Melayu sememangnya indah;
Perahu di air dayung ditangan’
Membujur lalu melintang patah.

Tambahnya Annuar lagi, ada pula yang bertanya dan meragukan muafakat ini.

“Nyatakan kepada mereka ini adalah muafakat dua saudara kandung yang lama terpisah yang umpama sirih pulang ke gagang, umpama belut ke lumpur, sirih semakin subur, belut semakin sihat dan membesar.

“Lawan tetap lawan, beritahu kepada mereka elephant and elephant fight grass will not die….in fight grass will grow even better this time around’,” ujarnya sinis yang disambut sorakan peserta.

Beliau seterusnya memberitahu apa yang seharusnya dirisaukan oleh golongan tersebut adalah mereka yang kerana dendam, kerana hasad telah mengambil musuh-musuh dan teman orang dalam.

Seterusnya kata beliau mereka mengambil musuh-musuh yang nyata menjadi orang kepercayaan walhal mereka tahu teman sebantal itu mempunyai mimpi yang sangat berlainan dan Ideologi yang berlainan serta niat yang berlainan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti, terima kasih kepada tetamu kami daripada pelbagai parti dan kaum serta seluruh ummah yang mendokong penyatuan dan usaha yang murni dan ianya sebahagian dariapda nikmat Allah,” ujarnya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin dalam ucapannya berkata kemenangan PH adalah mimpi ngeri kepada negara, rakyat dan ditambah dengan pergelutan kuasa dan pengaruh di dalam PH yang tidak pernah reda terus mengheret negara ini ke dalam kecamuk yang tidak kunjung sudah.

“Mengambil kira pertimbangan inilah beserta dengan ikrar taat setia kita kepada negara dan garis-garis besar sejarah undang-undang budaya harapan dan iltizam penubuhannya, maka UMNO dan PAS mengambil tanggungjawab moral dan politik untuk melupakan sengketa dan perbezaan lama serta kembali ke noktah kesatuan bagi menyelamatkan semua dari ribut kerajaan hari ini.

“Alhamdulillah bibit-bibit usaha kita sudah nampak dan semakin hari semakin jelas ianya ketara. Piagam kerjasama UMNO, BN dan PAS Gagasan Sejahtera ini adalah titik perubahan yang kita tawarkan kepada semua warga yang menginsafi sejarah kesetiakawanan yang terbentuk sebelum ini untuk dilanjutkan dan diteruskan pada masa-masa-masa depan.

“Kita bukan rasis… apatah lagi pelampau baik agama mahupun kaum. Budaya dan agama kita tidak mengizinkan kita melakukan demikian, malah sejarah kewujudan negara kita ini menjadi testimoni kekal dan abadi akan hakikat ini,” katanya.

Katanya lagi slogan ‘Malaysia Baru’ sebenarnya tidak membawa apa-apa yang baru, kosong dan hambar sebaliknya kempen fitnah dan salah maklumat secara besar-besaran parti PH hanya berjaya mewujudkan satu naratif arus perdana yang baru.

“Di sebalik janji-janji besar mereka, kehidupan rakyat semakin melarat, ekonomi dan kewangan negara semua sektor jatuh merundum, hutang negara menggila bertambah dan garis sasar kaum agama kelas wilayah dan orientasi makin melebar. Kerajaan PH tidak mempunyai jawapan kepada semua persoalan ini selain terus berjanji dan membuat kajian demi kajian semula,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.