UMNO Garis Enam Hasrat Utama Permuafakatan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 14 Sept – Akidah, keimanan dan keikhlasan merupakan salah satu daripada enam hasrat utama UMNO di dalam permuafakatan bersama PAS, ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, ia sebagai paksi bagi memperkukuhkan kebersamaan antara kedua-dua parti dan bukan semata-mata agenda politik.
“Akidah Islam mengikat seseorang muslim dengan segala aturan hukum Islam. Sewajarnya penyatuan ummah ini hendaklah berpandukan kepada akidah dan keikhlasan. Penyatuan ummah merupakan fardu kifayah, mendukungnya adalah suatu tuntutan Islam.
“Selama ini orang bukan Islam membaca gelagat dan keperibadian orang-orang Islam dalam merumuskan persepsi mengenai Islam. Sudah tentulah penyatuan ini akan mengembalikan semula teladan agung umat Islam kepada seluruh rakyat negara ini,” ujarnya dalam ucapan di majlis menandatangani piagam kerjasama UMNO PAS di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden kedua-dua parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib-naib presiden serta barisan kepimpinan parti.
Hadir sama, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan barisan kepimpinan parti-parti komponen BN dan Gagasan Sejahtera.
Hari ini, UMNO dan PAS mencipta sejarah politik tanah air apabila memeterai piagam bagi mengukuhkan kerjasama antara keduanya.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata hasrat kedua ialah Agenda Besar.
“Fahamilah, permuafakatan ini perlu dilihat sebagai penyelesaian terhadap permasalahan hari ini dalam usaha mewujudkan kedamaian, keharmonian, dan pembelaan nasib rakyat. Ummah dan negara hendaklah diutamakan.
“Gagasan Muafakat Nasional ini menawarkan pelbagai dasar alternatif, dalam menzahirkan prinsip semak dan imbang, hala tuju yang lebih pragmatik, realistik dan mampan.
“Muafakat ini adalah pilihan utama menggantikan pentadbiran kakistokrasi yang telah mengakibatkan negara menjadi A Failed State,” tegasnya.
Seterusnya tambah Dr Ahmad Zahid, UMNO menggariskan Jaminan Permuafakatan.
“Sesungguhnya, permuafakatan ini, menjaga dan menjamin hak semua kaum dan bangsa. Sejarah telah membuktikan, selama memerintah, kita menjunjung Perlembagaan dan kontrak sosial yang dibentuk oleh pengasas kemerdekaan negara.
“Kita tidak pernah merampas hak sesiapa. Negara pasti aman sejahtera jika semua pihak mendokong keluhuran Perlembagaan dan menghormati Kedaulatan Undang-Undang,” ujarnya lagi.
Begitu juga hasrat keempat iaitu Elak Pergeseran, katanya.
“Demi kelangsungan piagam ini, pertelingkahan hendaklah dielakkan. Kita tidak harus bersaing sesama sendiri. Sejarah membuktikan, pergeseran seringkali berakhir dengan kemusnahan.
“Tragedi Andalusia, Istanbul dan hancurnya Empayar Melayu-Islam Melaka menceritakan segala-galanya. Perpecahan ummah mendatangkan mudarat besar. Insaflah! Jangan kita mengulangi kesilapan masa lampau,” gesanya.
Manakala yang kelima jelasnya lagi berkaitan Tonggak Kepimpinan.
“Selama ini, tonggak kepimpinan Melayu bersama rakan-rakan setia, telah terbukti bertanggungjawab dan mampu menerajui masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kecelaruan pentadbiran kerajaan sekarang, kerana ketiadaan tonggak kepemimpinan Melayu yang berani dan berwibawa.
“Saya pasti UMNO dan PAS boleh menggalas tanggungjawab besar dalam menangani kemelut politik sekarang,” katanya.
Hasrat terakhir ialah Kekal Selama-lamanya permuafakatan yang telah dibina itu, ujarnya.
“Permuafakatan ini, adalah formula terbaik ke arah tawaran baru atau ‘new deal’ mewujudkan sebuah negara yang aman sejahtera untuk generasi akan datang. Ia perlu dipertahankan demi menjamin kelangsungan masa depan mereka.
“Pemangkin kejayaan permuafakatan ini bergantung kepada anak-anak muda. Tidak lupa juga peranan kaum wanita dan muslimat sebagai pendorong dalam melaksanakan misi suci ini. Pastikanlah perjuangan ini berterusan dan tidak terputus di tengah jalan.
“Penyatuan ummah ini, hendaklah dipupuk, disubur dan dipertahankan untuk selama-lamanya. Seperti kata Tokoh Tasawwuf, Ibnu Athaillah AL-Sakandari: “Cahaya pada permulaan adalah kebahagiaan pada pengakhiran” dan juga kata pujangga besar Arab, Ahmad Shauqi: “Kebaikan yang kamu asaskan adalah umur keduamu, walaupun kamu sudah dikandung tanah”,” katanya. – UMNO ONLINE