“Tarik Balik Bantuan Tapi Dia Nak Buat Kereta Terbang…”PH Tiada Visi Ekonomi Yang Jelas – Shahril

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Sehingga kini setelah lebih lima ratus hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, tiada kedengaran visi ekonomi yang jelas dibentangkan oleh mereka, tegas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Apa yang ada bidasnya, hanyalah mengeluarkan idea-idea yang mengarut tidak menguntungkan rakyat keseluruhannya seperti membuat kereta terbang, tambah ironi dalam masa yang sama PH menarik dan mengurangkan pelbagai bantuan.

“Seandainya sesebuah kerajaan itu mahu membuat satu dasar yang berbeza dengan kerajaan sebelumnya, contoh kurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau sekarang Bantuan Sara Hidup (BSH), bantuan nelayan dan sebagainya sudah tentu bagi kesan (kepada penerima) tapi kalau dia merasakan teori dan dasar ekonomi itu baik untuk negara bagi jangka panjang, dia kena hujahkan.. ini masalah Pakatan Harapan.

“Dia tarik balik bantuan tapi dia nak buat kereta terbang.. tarik balik bantuan, tapi dalam masa yang sama masih lihat menteri-menteri tertentu naik ‘private jet’ ke sini ke sana dengan keluarga. Ini menjadi masalah.

“Saya sedia untuk berdebat atau berbahas seandainya pendekatan, idealogi ekonomi Pakatan Harapan sebagaimana yang disebut oleh perdana menteri kita sekarang nampak gayanya dia tak berapa minat nak bagi ‘hand out’, tak berapa minat nak bagi BR1M dan seerti dengannya sebab bagi dia Melayu malas dan sebagainya,” jelasnya.

Shahril berkata demikian dalam satu wacana Himpunan Penyatuan Ummah bersama Ketua Pemuda PAS pusat, Ir. Khairil Nizam Khirudin dalam membicarakan topik ‘Anak Muda Pencetus Kebangkitan Ummah’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Mengulas lanjut, Shahril berpendapat seharusnya kerajaan PH membentangkan visi-visi ekonomi yang jelas serta rasional di sebalik penarikan pelbagai bantuan untuk rakyat contohnya untuk pelaburan kemahiran anak muda bagi jangka masa panjang, tetapi jelas itu tidak berlaku.

“Dia kena kata ‘okay’ saya tarik balik bantuan-bantuan tapi saya hendak laburkan segala khazanah kita dan apa yang ada dalam kantung kewangan kerajaan untuk menaikkan kemahiran-kemahiran orang muda dalam industri A, B dan C sebab saya rasa industri A, B dan C ini akan menjayakan dunia dalam masa 30 tahun akan datang.

“Kita tak dengar perkara itu.. ini masalahnya. Dalam masa yang sama menteri ekonomi kita saya tak berapa nak dengar apa sebenarnya pegangan menteri ekonomi tentang dasar ekonomi kita yang terbaik,” katanya lagi.

Tambah Shahril, ini menyebabkan golongan muda melihat kerajaan PH tidak mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik dan kini mula menyandarkan harapan kepada pakatan pembangkang bagi memulihkannya.

“Maka sudah tentu anak muda akan melihat benda yang dulu ada, sekarang tiada… yang dulu tiada sekarang ada yang mengarut… lebih baik dapatkan satu pakatan pembangkang yang boleh jadi ‘check and balance’ dan biarlah pakatan pembangkang itu ambil alih kelompongan visi ekonomi ini. Itu harapan.

“Ini juga cabaran selepas 14 haribulan ini (piagam UMNO PAS) untuk kita isi penyatuan supaya pengisian ini berteraskan konkrit dan bukan retorik, tidak memainkan sentimen tidak tentu arah tetapi memberi harapan sebenar kepada anak muda yang mereka percaya. Itulah resepi kemenangan, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Bukan itu sahaja, PH juga berjaya dalam tempoh yang singkat membuatkan rakyat terutamanya golongan muda kecewa kepada mereka disebabkan gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), jelas Shahril.

“Dalam tempoh yang amat singkat setelah kemenangan yang cukup mengujakan bagi penyokong-penyokong mereka, Pakatan Harapan telah menyerlahkan satu sifat yang mana rakyat tanpa mengira pegangan parti melihat mereka ini tidak boleh dipercayai, tidak boleh harap bermula dari janji-janji manifesto yang sudahlah tidak ditunaikan tapi angkuh pula bila tak tunai… dia kata bukan kitab suci dan sebagainya.

“Jadi perkara itu membuatkan anak muda yang pada PRU14 menyokong Pakatan Harapan merasakan kekecewaan ini amat drastik,” katanya.

Justeru itu tambahnya, apabila kekecewaan itu wujud maka sudah tentu golongan muda khususnya melihat kepada alternatif.

“Alternatifnya sudah pasti dua parti besar yang tidak berada dalam kerajaan, iaitu parti PAS dan UMNO yang kedua-duanya bagi mereka ada tarikan tersendiri.

“Kita sendiri kena mengisi kekuatan kita, bukan sekadar undi A campur dengan undi B. Anak muda mahu melihat kita mengisi kebersamaan itu dengan dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang segar untuk menjadi produk yang mereka boleh sokong,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.