Penyatuan Ummah Tepat Pada Masanya, Bait Lagu UMNO-PAS Pun Hampir Sama

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Penyatuan Ummah yang digerakkan oleh dua parti politik terbesar orang Melayu di negara ini iaitu UMNO dan PAS sememangnya dianggap sebagai sesuatu yang amat tepat dan kena pada masanya dalam keadaan dan senario semasa negara hari ini.

Malah jika dilihat dan diperhalusi, lagu rasmi kedua-dua parti pada rangkap awalnya seolah-olah mempunyai persamaan tersendiri dalam mengajak semua pihak ke arah penyatuan terutama bangsa Melayu dan umat Islam itu sendiri.

Bagi Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman perkara berkenaan berasas apabila lagu rasmi kedua-dua parti mengajak ke arah penyatuan.

“Sedar atau tidak, lagu UMNO dan lagu PAS mempunyai hampir sama permulaan. Lagu UMNO rangkap awal ‘Bersatu kita bersatu’, manakala lagu PAS pada awalnya pula ‘Bersatulah wahai kaum muslimin’… maknanya permulaan persamaan telah ada dalam lagu rasmi kedua-dua parti. Maka inilah saya kira sebagai pencetus kepada usaha penyatuan ummah ini. Lama dah kita impikan penyatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Wacana Intelektual’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Syahir seterusnya mengimbau doa yang dibaca oleh Almarhum Syeikh Hj Ahmad Mohd Said, Mufti Negeri Sembilan sejurus laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman.

“Apabila anak muda menghayati setiap bait dalam doa tersebut sangat besar maknanya dan sangat besar harapan generasi yang terdahulu. Ada empat perenggan. Perenggan pertama doa tersebut memohon agar negara ini dipimpin oleh pemimpin yang adil dan menjaga agama. Ini saya kira teras kepada pembinaan sebuah negara.

“Keduanya didoakan juga supaya bangsa Melayu secara spesifik disebut dalam doa berkenaan agar menjadi bangsa yang maju. Doa yang ketiga supaya dijaga kesejahteraan hidup dan juga keharmonian kaum dalam negara dan keempat bahawa kita mohon negara ini selamat daripada angkara anasir jahat musuh dan juga hasad dengki. Empat perkara ini saya kira sebagai satu perkara yang kita kena genggam,” ujarnya.

Beliau turut berpantun untuk sama-sama dihayati oleh semua pihak khususnya pendokong dan penyokong kepada penyatuan ummah.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu layuan;
Sudah lama kita bergasak,
Esok masa kukuhkan perpaduan.

Roh… roh… roh, neh… neh… neh…,
Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Sementara itu, penggerak NGO Aminudin Yahaya mengharapkan penyatuan ummah ini dapat ‘dinaratifkan’ secara betul dan diberitahu secara menyeluruh kepada seluruh rakyat dalam usaha memastikan apa yang ingin dilaksanakan dapat dijayakan sebaik mungkin.

“Peranan setiap pimpinan dan pelbagai pihak sangat penting untuk mengisi naratif ini kepada seluruh rakyat. Harapkan perpaduan ini lebih inklusif supaya suara yang dibawa menerusi platform ini benar-benar suara akar umbi sebabnya hari ini kita dah melihat kebobrokan yang ada jadi rakyat menunggu-nunggu sinar yang baru.

“Jadi sinar yang baru mesti nafas yang baru, mesti mempunyai kekuatan serta harapan yang baru. Jadi ini yang perlu diwar-war dan dicernakan dalam Piagam nanti. Harapkan semua orang Melayu menyokong perpaduan ini.

“Saya penuh yakin selaku dua parti besar orang Melayu kekuatan politiknya memang ada di sini. Kalau kekuatan ini dicernakan begitu baik masa depan bangsa Melayu sangat-sangat cerah. Namun di sana ada juga ruang-rang yang bagi saya perlu ditambah baik. Kebangkitan orang-orang muda merupakan satu kebangkitan yang jangan dipandang rendah. Banyak orang muda yang hebat-hebat dan berikan ruang untuk mereka terlibat secara ‘direct’ dalam penentuan masa depan negara ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.