Jangan Jadi Seperti Roti Canai, Kerjasama UMNO-PAS Perlu Ada Strategi Alternatif Untuk Rakyat
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Penggiat seni, Bob Lokman mengambil analogi pembuatan roti canai bagi mengingatkan orang Melayu agar tidak mudah dipermain-mainkan sebaliknya perlu bijak dalam apa jua keadaan untuk kepentingan bersama.
Menurut beliau untuk menghasilkan roti canai yang lembut, tepungnya perlu diuli dengan lemah-lembut dan dicampur-adukkan dengan pelbagai ramuan lain seperti telur dan sebagainya malah dijaga dan diletakkan di dalam peti sejuk yang mengambil masa sehari sebelum digoreng.
“Roti canai prosesnya dua hari. Esok makan hari ini diuli. Tepung dan kemudiannya dimasukkan air, kemudiannya telur, majerin dan garam kemudiannya diuli. Ulinya pula tidak boleh kasar dan perlu dengan lemah-lembut penuh kasih sayang. Diletakkan minyak dan sebagainya. Kemdiannya diselimutkan dengan tuala ‘Good Morning’. Kemudian diletakkan dalam peti sejuk. Ini hari pertama.
“Keesokkannya roti canai itu ditampar dan dilibas-libas sehingga terkoyak-koyak roti tersebut dan seterusnya diletakkan di atas kuali untuk dimasak. Kemudiannya ditampar-tampar lagi. Roti canai dalam peti ais tadi adalah anak muda dan roti canai yang masuk dalam kuali itu adalah orang tua. Ini analogi saya kepada orang Melayu yang sebenarnya dipermainkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Intelek anjuran Penerangan UMNO Malaysia sempena Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, petang tadi.
Sementara itu, penganalisis politik tempatan, Prof Azmi Hasan berkata gabungan kerjasama antara kedua-dua parti politik UMNO dan PAS perlu strategik yang mana setiap perkara yang hendak dilakukan mestilah mempunyai objektif tersendiri.
“Gabungan antara dua parti ini perlu strategik. Setiap perkara yang hendak dilakukan mesti tahu apa objektif… sebab sekarang saya lihat banyak bola tanggung. Banyak bola tanggung ada kala disambut dan adakala tidak disambut.
“ICERD dan Rome Statute adalah bola tanggung yang disambut tetapi ada lagi dua tiga perkara yang tidak disambut oleh dikatakan gabungan dua parti ini. Contohnya tentang Pulau Batu Putih dan juga Lynas Nadir Bumi di Gebeng. Perkara itu tidak disambutnya secara strategik.
“Pada saya, saya lihat bola tanggung yang boleh disambut kerana nak membuktikan bahawa saudara-saudari adalah lebih baik mengurus sebuah negara daripada lawan-lawan saudara-saudari. Itu yang perlu dibuktikan,” ujarnya.
Bagi Exco Pemuda UMNO, Afif Farhi Othman setiap perkara baru sudah pasti ada cabaran yang mendatang dan begitu jugalah penyatuan ummah dan kerjasama antara kedua-dua parti UMNO dan PAS yang memasuki fasa awal.
Menurut beliau cabaran yang kritikal adalah menjelang PRU akan datang kerana sudah pasti untuk membinanya memakan masa dan untuk meruntuhkan sesuatu perkara yang baik itu hanya dalam sekelip mata.
“Jadi saya sebagai anak muda mengharapkan kepimpinan kedua-dua parti berbincang dengan sebaiknya untuk memasuki PRU akan datang dengan keadaan cukup harmoni. Masing-masing perlu melapangkan dada dan memikirkan agenda kita.
“Kita kena buktikan kepada rakyat di luar sana yang mengharapkan kita menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada bahawa hubungan kita ini bukan untuk jangka masa pendek. Sebab itu kita ‘looking forward’. Piagam yang hendak kita tangani esok merupakan piagam yang akan mengikat kita bukan sekadar untuk menang pilihan raya, piagam yang mengikat selama-lamanya,” tambahnya.
Pada masa yang sama tambahnya lagi besarlah harapan agar perpaduan ummah ini memberikan tumpuan untuk meliaht keadaan realiti di Malaysia.
“Kita tidak boleh terlalu kebangsaan, kita tidak boleh terlalu ekstrim sebaliknya kita perlu mengambil jalan tengah, jalan wasatiyyah yang mendamaikan semua pihak. Kita kena ketengahkan kepimpinan yang berintegriti yang mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik,” ujarnya. – UMNO Online