‘Final Countdown’ #HPU Selangor: Selamat Datang Perdamaian

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mencuri tumpuan pada ‘Final Countdown’ Himpunan Perpaduan Ummah peringkat negeri Selangor yang berlangsung di Kompleks Lincah Mahaguru Omar Din (KLMO) apabila melontarkan pantun yang cukup menarik menyindir Pakatan Harapan (PH).

Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mengucapkan selamat tinggal kepada perpecahan dan selamat datang kepada perdamaian.

Ungkapan beliau itu disambut laungan ‘Takbir’ serta mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai yang memenuhi perkarangan KLMO di sini, Khamis malam.

“Kita ucapkan selamat tinggal kepada perpecahan dan kita ucapkan selamat datang kepada perdamaian. Punyalah lama kita bersengketa, berpuluh tahun kita bersengketa…,” katanya.

Pantun beliau pula secara sinis ditujukan kepada PH yang bukan sahaja tidak menunaikan janji malah dianggap gagal dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Pantunnya berbunyi begini tuan-puan…pantun ini kawan-kawan PAS juga yang mengajar. Saya sendiri pun ada juga pantunnya… bunyinya lebih kurang begini:

“Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan;
Jika tidak mahu kena kencing,
Jangan sokong Pakatan Harapan.

“Tanam ganja tanam buluh,
Ganti getah ganti sawit;
Sudah terang lagi bersuluh,
Rakyat susah semakin sakit.”

Meneruskan ucapan, Ahmad seterusnya berkata perjuangannya tetap bersama rakyat dan bersama dengan parti.

“Dulu saya bekerja dengan Datuk Mustapa Mohamed 10 tahun… orang semua risau adakah saya akan mengikuti beliau. Saya beritahu kawan-kawan kalau di atas satu gunung hanya ada satu bendera UMNO dan orang yang membawa bendera itu adalah Ahmad Maslan.

“Tidak akan lari daripada perjuangan parti. Kita juga jangan lari daripada perjuangan PAS dan UMNO. Kita sama–sama jadikan negara ini negara yang baik insya Allah,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.