Dalang Isu Jual Mykad Kepada Rakyat China Perlu Dihukum Berat

KANGAR 13 Sept. – Individu-individu yang terlibat menjual dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China seperti mana yang terbongkar baru-baru ini, perlu dijatuhi hukuman seberat-beratnya kerana mereka telah mengkhianati negara.

Tegas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, pengkhianatan individu terbabit telah memberi implikasi yang serius kepada kestabilan politik negara selain boleh menggugat keselamatan serta kedaulatan Malaysia.

Selain itu, Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar turut membangkitkan persoalan mengenai siapa dalang disebalik isu tersebut.

“Di sebalik penangkapan ini, ia juga mengundang satu lagi persoalan besar. Siapakah dalang di sebalik isu ini?… Saya yakin ada individu-individu atau kumpulan tertentu dalam kalangan rakyat tempatan yang telah merancang dan mengusahakan pengeluaran kad pengenalan ini kepada rakyat China.

“Mereka sudah tentu telah bekerjasama, dan mungkin telah merasuah pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkenaan.

“Persoalan lain ialah kenapa mereka melakukannya?.. Apakah tujuan dan agenda besar mereka?.. Ini adalah perbuatan khianat kepada raja dan negara dan perlu disiasat segera,” katanya dalam status Facebooknya di sini hari ini.

Kelmarin, polis mendedahkan berjaya membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China yang didalangi pegawai JPN Pulau Pinang.
Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah namun didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei lalu.

Semalam, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd. Faizul Ariffin, 34, merupakan antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang berhubung sindiket penjualan sijil kelahiran dan MyKad sah kepada warga asing.

Tambah Azlan, rakyat sedang menunggu jawapan dari pihak berkuasa berkaitan persoalan-persoalan tersebut selain menanti apakah tindakan yang akan diambil ke atas semua pengkhianat-pengkhianat negara ini.- UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.