Ayuh Bersama, Penyatuan Ummah Bakal Merubah Landskap Politik Negara


KUALA LUMPUR, 12 Sept – Tarikh 14 September bakal mencatat sejarah bukan sahaja untuk UMNO dan PAS tetapi dalam dunia politik negara apabila dua parti yang sebelum ini sering berbeza pendapat bakal menandatangani piagam kerjasama yang akan merubah landskap politik negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyatuan ummah antara UMNO dan PAS adalah untuk melihat Malaysia ini kembali ke arah pembentukan sebuah negara pelbagai kaum dan agama namun asas Islam dan Kemelayuan itu menjadi tapak untuk bergerak.

Jelas beliau, selepas PRU-14 di mana Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pimpinan negara selepas berjaya mengalahkan Barisan Nasional (BN), UMNO dan PAS merasakan rakyat telah dihanyutkan dengan janji manis manifesto PH yang sehingga kini tidak tertunai maka sesuatu harus dilakukan demi membela nasib rakyat.

“Secara peribadi saya telah mula mengambil langkah-langkah untuk merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua parti sejak tahun 1998 lagi. Ketika itu Allahyarham Harun Din menjadi Ketua Penerangan PAS. Secara peribadi beliau telah menyatakan hasrat untuk menyatukan UMNO dan PAS tetapi tidaklah menyarankan sama ada UMNO atau PAS terbubar tetapi ada mekanisme yang boleh diusahakan.

“Hinggalah pada 4 Disember 2016, buat pertama kalinya pemimpin dua-dua parti berada dipentas yang sama ketika perhimpunan membela nasib Rohignya. Kemudian diikuti beberapa perjumpaan dengan pemimpin PAS secara tidak rasmi. Seterusnya perhimpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah di Pasir Salak dan ICERD mula menjadi titik tolak merapatkan hubungan yang renggang. Kemudian, langkah diambil sehingga tertubuhnya jawatankuasa induk dan jawatankuasa taknikal antara UMNO dan PAS,” ujar beliau dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online.

Tambah Zahid, sejak PH memerintah negara, pelbagai cara telah dilakukan oleh kepimpinan mereka untuk merobek Perlembagaan negara khususnya yang berkaitan dengan Melayu dan Islam.

Atas landasan itu, UMNO dan PAS merasakan jika ‘kepedulian’ terhadap permasalahan ini tidak diambil kira maka perkara yang termaktub dalam Perlembagaan akan hanyut tanpa pembelaan.

“Ini dikhuatiri akan menjadikan negara yang selama ini menghormati kepelbagaian agama, kaum dan budaya akan menjadi satu negara yang seolah-olah tidak ada keindukannya dan ini amat membimbangkan.

“Sebab itulah penyatuan ummah ini dirancang namun apa yang dipersetujui buat sementara ini adalah kerjasama politik tetapi jika ada kolabrasi nanti untuk menghadapi pilihan raya maka ia adalah satu lagi tahap yang akan diperincikan antara kedu-dua parti.

“Kita akan mengambil kira semua aspek termasuk kepelbagaian kaum di negara kita dan akan turut melibatkan parti politik di Sarawak dan Sabah bagi menterjemahkan piagam yang akan ditandatangai 14 September ini,” ujar beliau lagi.

Ketika ditanya berkaitan cemuhan yang dilemparkan terhadap kerjasama ini jelas Zahid, dalam dunia politik apa sahaja boleh terjadi.

“Kalau seorang yang sangat bencikan Dap boleh menerima Dap sebagai rakan kongsi politik dan Dap juga yang amat bencikan seorang pemimpin itu boleh menerima pemimpin tersebut… serpihan daripada PAS boleh terima pemimpin itu juga sedangkan mereka dulu begitu benci sehingga memberi gelaran ‘maha’ itu dan ini, jadi mengapa UMNO dengan PAS tidak boleh bekerjasama pula. Inilah realiti politik yang harus kita terima… tidak ada sahabat dan musuh yang berkekalan.

“Penyatuan ummah ini juga tidak menyentuh atau merubah perlembagaan kedua-dua parti. UMNO yang berpegang kepada idealogi Islam yang berlandaskan Kebangsaan Melayu dan mendokong sesuatu yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan PAS yang mempunyai tagline ‘Islam Memimpin’ berlandaskan plural identiti yang ada dalam negara ini… maka saya tidak nampak ada perubahan dalam merealisasikan usaha kerjasama politik ini,” ulas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.