PH Gabungkan UniSZa Dan UMT, Menteri Tidak Profesional… Pendidikan Bukan Eksperimen

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pakatan Harapan (PH) hari ini melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan secara mengejut untuk menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan tersebut dianggap sebagai tidak profesional.
“Saya menegaskan bahawa ini bukan satu tindakan yang profesional dan perlu. YB Dr. Maszlee Malik mesti berhenti membuat keputusan yang tidak jelas matlamat serta hala tujunya.

“Pendidikan bukanlah satu sektor yang boleh dijadikan eksperimen secara membuta tuli. Saya harap perkara ini akan dipertimbangkan kembali oleh PH,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga mantan Menteri Pengajian Tinggi tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan berpendapat ia bukanlah satu keputusan yang objektif dan baik.

“Pertama, dari segi sandaran dan justifikasi, Kerajaan tidak pun membentangkan kepada masyarakat sebarang kajian komprehensif yang menganalisis apakah keperluan mendesak tindakan sedemikian, nilai tambah yang akan diperolehi dari segi kecekapan pengurusan, keberkesanan pengajian serta pulangan kepada pelajar dan masyarakat setempat.

“Lebih penting, apakah kemudaratan yang akan berlaku sekiranya penggabungan ini tidak dilakukan?”

Katanya, tanpa kajian yang komprehensif seperti ini, keputusan tersebut bersifat sangat politikal, semberono dan tidak profesional. Ia mengundang tanda tanya yang besar di kalangan pelajar, para ibu bapa, tenaga pendidik, pengurusan universiti, pihak industri dan masyarakat awam.

“Kedua, rujukan kepada The University of Manchester dan UMIST adalah tidak tepat. Ini kerana, dalam kes tersebut ia merupakan satu tindakan mengambil alih berbanding penggabungan.

“Sekalipun Kerajaan melihatnya sebagai penggabungan, adalah penting untuk Kerajaan menganalisis faktor-faktor yang menyokong kewajaran penggabungan tersebut dan membandingkannya dengan kes UniSZA dan UMT.”

Soalnya, adakah wujud persamaan, keperluan dan faktor-faktor yang akan menjayakannya.

“Ketiga, kita sendiri maklum bahawa UniSZA dan UMT mempunyai fokus dan kebitaraan yang bukan sahaja tersendiri tetapi saling berbeza. Jadi, jika kerajaan berkeras menggabungkan kedua-duanya, fokus dan kebitaraan institusi yang mana satukah yang akan diangkat? Adakah UniSZA akan menjadi lebih seperti UMT atau sebaliknya?

“Keempat, seperti biasa, hanya selepas sudah memutuskan penggabungan ini, barulah akan diwujudkan jawatankuasa khas berkenaan dengannya. Itu pun sekadar bertujuan untuk melaksanakan keputusan tersebut dan bukannya bagi membincangkan baik buruk penggabungan ini.”

Katanya lagi, ia tidak lebih dari tindakan bersifat kosmetik bagi menunjukkan yang sensitiviti, pandangan serta saranan pelbagai pemegang taruh akan dilihat diambil kira. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.