PH Didesak Tumpu Pegangan Bumiputera, Jaga Kepentingan Rakyat… Bukan Kroni Dap
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pakatan Harapan (PH) didesak agar memberi tumpuan kepada segala keraguan rakyat berhubung usaha mencairkan pegangan Bumiputera dalam syarikat kelolaan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta dakwaan terdapat usaha-usaha membeli kepentingan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkepentingan tinggi bagi bumiputera.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamad Nizham Abdullah Hamidi berkata pada zaman Barisan Nasional (BN), polisi kerajaan pada ketika itu adalah pro-GLC yang bermaksud pro-rakyat.
“Ini bermaksud mana-mana syarikat maju dan berdaya saing akan diambil alih oleh dana-dana kerajaan seperti KWSP, Khazanah, LTAT dan PNB,” katanya dalam sidang media di Yayasan Warisan Batu, Kuala Lumpur hari ini.
Tegasnya, syarikat-syarikat kroni Dap dan PH mula tamak untuk mendapatkan tanah-tanah strategik milik GLC, konsesi-konsesi kerajaan dan projek mega.
“Yang mendapat manfaat bukanlah rakyat tetapi beberapa individu pemilik syarikat swasta sahaja yang akan untung termasuklah mereka-mereka yang memasang proksi.”
Maklum beliau, terkini khabarnya terdapat usaha dari syarikat swasta iaitu Ecoworld yang mahu membeli kepentingan terbabit sedangkan ternyata syarikat tersebut bukan hanya tidak pro kepada rakyat tetapi juga adalah sebuah kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
“Masihkah kita ingat terutamanya rakyat di Pulau Pinang di mana Ecoworld hendak membeli tanah seluas 190 hektar di Pulau Pinang pada harga RM1.02 bilion untuk membina padang golf dan pembangunan bercampur?
“Sudahlah ia merupakan tanah kerajaan negeri di Batu Kawan, malah Ecoworld membina rumah-rumah mahal yang tidak mampu dibeli oleh orang kebanyakan.”
Nampaknya, kata beliau, Dap melalui Kementerian Kewangan kini melancarkan konsep yang sama terhadap UEM Sunrise seolah-olah UEM Sunrise yang majoriti pemegang saham dikawal oleh dana kerajaan demi kepentingan rakyat.
“Sekiranya ini benar-benar berlaku, maka kami di Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan membantah sekeras-kerasnya tindakan terkutuk pihak kerajaan hari ini.
“Kami khuatir, penggabungan ini akan menjadikan smua kepentingan bumiputera di bawah UEM Sunrise terutamanya yang melibatkan pembangunan tanah-tanah bakal dikawal oleh Ecoworld.”
Nampaknya, bidas beliau, seperti ada gerakan untuk melumpuhkan terus kedudukan ekonomi Bumiputera.
“Pesanan kami, jangan bermain api kelak membakar diri. Ini adalah satu permainan yang cukup bahaya terutamanya dalam memastikan kemakmuran negara kekal sentosa.”
Dalam masa yang sama beliau turut membangkitkan kebimbangan berkaitan spekulasi ahli korporat Voon Tin Yow iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat
hartanah Ecoworld Developemnent Group Berhad akan dilantik sebagai CEO Sime Darby Property.
“Pelantikan Voon sekiranya berlaku adalah perkara yang membimbangkan kerana Sime Darby merupakan platform untuk membantu peniaga dan profesional Melayu supaya dapat bersaing dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran.
“Voon mungkin sahaja tidak dapat menghayati perjuangan ini tetapi beliau juga merupakan sebahagian daripada Ecoworld (syarikat) yang secara sifatnya sentiasa mengejar keuntungan dan bukannya memberi keutamaan kepada rakyat,” katanya.
Mohamed Nizham mendakwa CEO baru akan menerima pendapatan bulanan jauh lebih tinggi dari penjawat sebelumnya.
“Yang lebih memeranjatkan adalah, Voon Tin Yow yang juga merupakan Pengarah Eksekutif di Ecoworld bakal mendapat pendapatan sebanyak RM 265,000 sebulan berbanding pemangku CEO hanya menerima gaji berjumlah Rm 62,000,” katanya.
Mohamed Nizham menyuarakan kebimbangan barisan kepimpinan yang didominasi bumiputera akan dirombak.
“Kami merasakan ia adalah satu tanggungjawab untuk kes ini diulas secara umum kerana ia melibatkan kepentingan rakyat terutamanya bangsa Melayu yang merupakan bangsa majoriti,” katanya. – UMNO ONLINE