Mujahid Patut Sokong Beli Barang Keluaran Muslim, Bukan ‘Mengekor’ Dap

KANGAR 10 Sept. – Tindak-tanduk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang mengkritik kempen mengutamakan membeli barangan keluaran Muslim, menyerlahkan lagi sikapnya yang dilihat ‘mengekor’ sahaja kehendak Dap.

Katanya, sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga agama Islam di negara ini, Mujahid sepatutnya menyatakan sokongan dan mengetuai kempen mengutamakan membeli barangan keluaran Muslim itu, bukannya membantah usaha memperkasakan ekonomi Islam tersebut.

Kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu, kempen tersebut membicarakan mengenai usaha ke arah pemerkasaan ekonomi orang Islam dan seharusnya langkah baik ini disokong.

“Mujahid sebagai menteri agama patut mengepalai kempen ini dan menyatakan sokongan secara habis-habisan, bukannya memberi pandangan seolah-olah menyokong Dap.

“Sepatutnya Mujahid memikirkan cara membantu memperkasakan ekonomi orang Islam dengan amanah yang diterima sebagai menteri agama.

“Kalau orang cakap ‘mengekor’ DAP, YB marah, namun hakikatnya rakyat sedang menilai dan cakap di luar sana mengenai tindak-tanduk menteri agama ini. YB sepatutnya ke depan dalam soal ini bukan ke belakang dan dilihat ‘mengekor’ Dap,” katanya.

Baru-baru ini, Mujahid dilaporkan berkata, Islam tidak mengajar umatnya memilih produk berdasarkan bangsa dan kaum tertentu, sebaliknya menekankan kepentingan membeli barangan halal serta bersih.

Tambah Fathul Bari, rakyat di negara ini amat memahami apa yang disebutkan oleh Mujahid itu bahkan sejak turun-temurun urus niaga antara orang Melayu, Cina serta pelbagai kaum lain telah berlangsung dan diamalkan untuk pemerkasaan ekonomi Malaysia.

“Cuma hari ini orang membicara tentang pemerkasaan ekonomi orang Islam iaitu melalui kempen mengutamakan membeli barangan keluaran Muslim. Mujahid sepatutnya memberikan sokongan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.