Kredibiliti Kerajaan Diragui, NGO Mohon Penjelasan Isu Pemberian Warga Negara

AMPANG 10 Sept – Gerak Padu Selangor mempersoal kredibiliti dan keupayaan kerajaan era Malaysia Baru hari ini berkenaan pemberian taraf warga negara kepada warga asing.

Pengerusinya, Muhammad Faizal Sufar berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu memberi penjelasan berkaitan hal tersebut kerana dikatakan kebanjiran warga asing sebanyak 200 ribu orang yang akan menjadi warga negara Malaysia.

“Rakyat merasa risau dan memandang perkara ini sangat serius jika benar Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengiktiraf kerakyatan warga negara China dan juga dikhuatiri terjadinya pelbagai perkara yang tidak diingini akan berlaku di negara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia merasa risau jika adat budaya ketimuran akan terjejas ekoran kebanjiran warga negara asing yang mendapat pengiktirafan.

“Saya memohon pihak berkuasa memperhalusi dan melihat perkara ini… saya juga menuntut supaya pihak kerajaan mengetatkan syarat-syarat menjadi warga negara.”

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Gerak Padu Selangor, Datuk Imran Tamrin berkata dikalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia merasa risau kerana isu ini melibatkan kewarganegaraan yang menjadi cukup sensitif.

Beliau berkata, seolah-olah begitu ramai yang ingin memohon status kewarganegaran dan khuatir kebanjiran warga asing ini akan menyebabkan terjadinya banyak isu-isu lain.
“Ini perlu dikawal oleh pihak kerajaan melalui polisi ataupun dasar-dasar kerajaan dan ini bukan dilaksanakan sewenang-wenangnya.

“Tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Sudah pasti ada perkara-perkara yang berbangkit dan kita tak nak terdapat sindiket mahupun konspirasi dalaman yang berlaku sehingga menyebabkan perkara ini timbul.

“Dalam perlembagaan sudah menetapkan kalau ada pasangan yang bukan warga negara Malysia sekurang-kurangnya telah bermastautin tidak kurang dua tahun dan baru boleh membuat permohonan,” katanya.

Menurut Imran lagi, pemberian kewarganegaraan sudah tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Negara terutamanya dalam perkara 15 (1), bahagian tiga yang memberi peruntukan perlu dipatuhi dan memenuhi sebelum seseorang itu boleh memohon untuk mendapat kewarganegaran.

“Ianya perlu dikawal khususnya untuk memberikan taraf warga negara terutama kepada warga negara asing, tidak kiralah daripada China, Indonesia atau mana-mana negara yang datang ke negara ini, sama ada sebagai pasangan atau pun ingin bermastautin. Ini perlu ada kawalan dan juga peraturan yang ketat.

“Kita perlu mendapat injuksi dari mahkamah supaya tidak ada warga asing yang diberikan sehingga pihak kerajaan dan KDN mempunyai dasar dan polisi yang benar-benar jelas dengan isu pemberian ini.

“Kita yakin pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai Standard Operation Prosuder (SOP) yang begitu ketat tentang pemberian warga negara dan kita maklum sebelum ini ada yang tinggal lebih 20 tahun dan mendapat status penduduk tetap, sehingga memohon taraf warga negara pun tidak dapat, tapi hari ini adakah ia di permudahkan pelaksanan warga negara?” soal beliau lagi. – UMNO ONLINE