Buy Muslim First: Pemuda UMNO Gesa Henti Salah Tafsir, Tidak Timbul Boikot


KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pemuda UMNO meminta agar pimpinan kerajaan menghentikan salah tafsir berhubung kempen yang dibuat oleh NGO terutama Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan juga NGO Melayu dan Islam berhubung kempen Buy Muslim First (BMF) yang dianggap satu mainan sentimen dan boleh membangkitkan serta memecahbelahkan rakyat pada hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak timbul soal memboikot barangan bukan Bumiputera atau barangan bukan Islam kerana apa yang difahami kempen BMF itu memberikan keutamaan untuk membeli barangan orang Islam serta barangan Bumiputera dan itu sahaja.

“Jadi saya rasa persepsi atau pun mainan sentimen yang cuba dibawa oleh pemimpin-pemimpin kerajaan adalah satu sentimen perkauman yang cuba dibangkitkan atau cuba dimanipulasi kerana tidak pernah timbul soal memboikot mana-mana rakyat Malaysia sama ada mereka ini orang Islam atau bukan Islam yang dicetuskan oleh NGO-NGO sebelum ini.

“Jadi tidak timbul soal mahu memboikot barangan bukan Bumiputera atau barangan bukan Islam dan sebab itu saya minta supaya kerajaan menghentikan mainan sentimen yang boleh membangkitkan dan memecahbelahkan rakyat dikalangan kita pada hari ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO.

Dalam perkembangan lain, Asyraf menegaskan tidak pernah timbul soal penukaran tema penyatuan ummah yang mana perkara berkenaan seolah-olah cuba dimanipulasi oleh banyak pihak dalam usaha menjejaskan perkara terbabit.

“Tajuk piagam itu akan diisytiharkan nanti pada 14 September. Tajuknya bukanlah penyatuan ummah dan itu ‘surpriselah…’ biar Presdein kedua-dua parti yang akan umumkan nanti.”

Katanya, ramai yang cuba memainkan dan cuba memanipulasi seolah-olah penyatuan ummah akan menjadikan hubungan ataupun gabungan yang ekslusif.

“Tidak pernah timbul sedikit pun hatta dalam perbincangan awal kita mengenai penyatuan ummah ini, kita pilih ungkapan ummah sebab ummah sudah memberikan makna inklusif.

“Siapa orang pertama yang menggunakan perkataan ummah… Nabi Muhamamad s.a.w apabila membentuk Piagam Madinah. Piagam Madinah adalah perlembagaan pertama yang membina negara Madinah dan Piagam Madinah itu menggunakan perkatan ummah untuk memberi konotasi bahawa Madinah bukan sahaja didiami atau dimiliki oleh orang Arab tetapi juga orang Yahudi. Bukan sahaja orang Islam tetapi juga orang Kristian, agama Majusi, agama Nasrani.

“Jadi kalau tengok Perlembagaan Madinah memang diletakkan ummah dan semangat ummah itulah kita mahu bina kembali dalam membentuk Malaysia dan pada masa yang sama kita memperakui keindukan bangsa dan agama selain menghormati nilai kemajmukan dan keunikan negara ini,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.