Teruskan Muafakat… Tolak Penghasut Yang Adu Domba Penyatuan Ummah – Asyraf

POKOK SENA, 6 Sept – Bahang Himpunan Penyatuan Ummah pada 13 dan 14 September ini makin terasa apabila tokoh Pemuda UMNO dan Pemuda PAS menghiasi Karnival Sejahtera Perpaduan Ummah menerusi pentas ceramah yang diadakan di Kompleks Darul Ulum, Pokok Sena, Khamis malam.

Jika malam sebelumnya, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa bersama Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan pimpinan kedua-dua parti lain sepentas pada himpunan penyatuan ummah peringkat negeri, kali ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Ketua Pemuda PAS, Ust Afnan Hamimi Taib Azamudin pula mengambil tempat bersama barisan pimpinan pemuda yang lain.

Pelbagai isu semasa dikupas dan tentunya topik penyatuan ummah terus menjadi tumpuan utama dalam usaha memperjelaskan kepada seluruh masyarakat khususnya diperingkat akar umbi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menyifatkan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan mempunyai makna yang tersendiri kepada seluruh rakyat dan negara.

Justeru katanya usaha ke arah berkenaan perlu ditingkatkan dan sudah pasti akan ada pihak tertentu yang akan cuba sedaya upaya untuk menggagalkan usaha tersebut.

“Kita bersama hari ini bukan biasa-biasa kerana ini merupakan tuntutan Allah SWT. Pastinya dan percayalah penghasut yang akan adu domba cuba untuk porak porandakan hubungan antara kita sama ada sebelum atau selepas 14 September ini.

“Itu petanda PAS dan UMNO melalui era yang hakikatnya ditakuti oleh mereka. Jangan sesekali dan kepada semua jangan terpengaruh dengan pengadu domba ini. Sudah tentu mereka akan pergi cuba untuk imbau kisah-kisah lama dalam hubungan antara kita.

“Tetapi ingatlah ini yang pernah berlaku sempena Maal Hijrah pada zaman Nabi Muhammad SAW yang mana hampir-hampir kaum Aus dan Khazraj menghunus perang untuk berperang semula,” katanya.

Katanya lagi jika mahu diungkit kembali kisah dan cerita lama sudah tentu akan ada, namun percayalah kita perlu terus mengorak langkah ke depan demi kepentingan bersama.

“Kalau nak gali mesti jumpa. Kalau nak imbau sakit dan pedih hati kita imbau sejarah silam bercakaran dengan PAS dan dengan UMNO boleh jumpa.

“Kita bersatu berpakat bermuafakat atas nama apa sekalipun bukan kerana kuasa, bukan sekadar nak jatuhkan PH… memang betul kalau amarah kita kepada PH, hanya Allah SWT yang tahu, tetapi ini adalah tuntutan Islam, tuntutan Allah SWT.

“Tidak ada kaitan untuk tindas mahupun meminggirkan mana-mana agama dan kaum lain. Sehingga ke hari ini tidak sedikitpun terlintas apatah lagi mahu ambil hak dan jauh sekali untuk menzalimi mereka. Semua agama dan bangsa kita akan jaga,” ujarnya.

Tambah Asyraf tindak-tanduk pimpinan kerajaan hari ini sudah berubah setelah mereka membentuk kerajaan.

“Dulu AES mereka sanggup berdemonstrasi dengan mengatakan kamera yang tangkap gambar bawa kereta laju lebih 120km kena denda menyusahkan rakyat… sanggup tidur di jalanan tetapi apabila naik, mereka tambah 11 lagi kamera dan harga pula lagi mahal pada zaman kerajaan sebelum ini. Dikatakan pula AES menepati maqasid syariah.

“Kalau dulu GST turun harga akan turun… hari ini rakyat merasai kepayahan. Hutang negara zaman merekalah mencecah hampir RM900 Bilion… naik hampir RM200 bilion. Kononnya nak bayar hutang 1MDB. Apabila ditanya oleh Datuk Seri Najib Razak berapakah jumlah yang telah dibayar, mereka senyap seribu bahasa. Harga ringgit terus menjunam, pelabur juga begitu. Ini belum ditambah lagi kenyataan yang memperbodohkan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.