Kempen Utama Produk Muslim Berjaya Pecah Oligopoli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 5 Sept. – Kempen utamakan produk Muslim dilihat mampu memecahkan oligopoli ekonomi iaitu konsep perniagaan yang dikuasai oleh kumpulan peniaga tertentu.

Justeru, kesan daripada pemecahan oligopoli ekonomi, dominasi kawalan harga juga dapat dihapuskan sedikit demi sedikit sekali gus memberi kelebihan kepada pengguna.

Menurut Peguam dan Penganalisis Politik, Adnan Seman, kempen memperkasakan ekonomi bumiputera adalah sangat baik untuk negara.

“Oligopoli adalah perkataan berasal daripada Yunani Kuno iaitu ‘oligos’ bermaksud sedikit manakala ‘polein’ bermaksud menjual merupakan bentuk pasaran yang dikuasai oleh sejumlah kecil penjual (peoligopoli atau oligopolist).

“Sistem ini mempunyai struktur pasarannya tersendiri. Oligopoli menjadikan mereka yang menguasai ekonomi atau pasaran sangat berkuasa,” katanya dalam perkongsian status di Facebooknya hari ini.

Penerangan beliau dapat dijelaskan menerusi beberapa maklum balas dalam Facebook mengenai kesan terhadap pelaksanaan kempen tersebut apabila beberapa pengguna mula membuat perbandingan harga barangan.

Malah, terdapat pengguna memaklumkan berlaku penurunan harga terhadap beberapa barangan keperluan harian terutama minyak masak yang jatuh sehingga RM12.90 bagi setiap botol lima kilogram berbanding sebelum ini yang berlegar antara RM17 hingga RM20.

Tambah Adnan, situasi berkenaan adalah kesan yang dapat dilihat daripada sikap ‘oligopolist’ yang sebelum ini bersikap kapitalis.

“Oligopolist boleh dengan sesuka hati menaikkan harga bagi mengaut keuntungan melampau, sabotaj pesaing baharu, menggagalkan persaingan bagi menjaga kepentingan mereka dan boleh pula menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan dengan kenaikan harga barangan.

“Apabila oligopoli ini berjaya dipecahkan maka harga akan menjadi lebih kompetitif dan murah untuk pengguna tanpa mengira kaum. Kuasa pengguna. Teruskan usaha memecah oligopoli,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.