Malaysia Negara Istimewa, Pertahankan Pasak Keistimewaan Hingga Generasi Seterusnya – Asyraf

 

SHAH ALAM, 4 Sept – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Perlembagaan negara merupakan kunci kepada segala-galanya yang harus dipertahan serta diperkasakan dalam usaha memastikan keistimewaan Malaysia kekal sehingga ke generasi yang seterusnya.

Menurut beliau pasak-pasak itulah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang cukup istimewa dengan masyarakatnya yang berbilang agama dan pelbagai bangsa.

“Malaysia adalah negara yang cukup istimewa. Kita harus melihat bahawa Malaysia ini adalah dimiliki oleh kita semua… dimiliki oleh orang Melayu, orang Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.

“Cuma yang paling penting dalam kita merasakan bahawa tanah air ini milik kita bersama sudah tentu di sana ada akar yang harus kita jaga supaya pokoknya sentiasa kuat dan dapat mengeluarkan buah yang ranum secara berterusan sehingga ke anak cucu.

“Akarnya itu tidak lain dan tidak bukan… apa yang telah kita sepakati bersama dalam konteks Perlembagaannya, Rukun Negara. Asas-asas ini jangan kita pertikaikan, jangan kita cuba untuk mengadu domba, jangan kita cuba untuk meremehkan kerana kalau kita memahami Rukun Negara, Perlembagaan, kita akan dengan sendirinya memahami bahawa negara ini masing-masing ada hak dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar semalam. Turut menjadi ahli panel, Tan Sri Dr Rais Yatim, Dr Tan Sen Giaw dan Prof Sivamurugan Pandian.

Asyraf seterusnya menambah bukan hak sahaja yang harus difikirkan tetapi juga tanggungjawab yang harus diperhalusi secara secara bersama.

“Kalau kita fahami secara kontekstualnya, secara tuntasnya Islam agama Persekutuan manakala semua agama bebas diamalkan. Melayu, Bumiputera ada hak kedudukan istimewanya tetapi bangsa-bangsa lain juga ada haknya yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan.

“Inilah yang saya maksudkan dengan pasak-pasak yang kita jangan sesekali perlonggarkan atau perkotak-katikkan oleh sesiapa terutama orang politik. Saya juga orang politik sebab itulah saya perlu ditegur kalau saya melakukan kesilapan sedemikian,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa jangan dilihat bahawa kerjasama UMNO dan PAS mengenepikan pelbagai pihak lain di negara ini.

“Kita bercakap dan memberi mesej bahawa tidak menyampingkan bangsa atau kaum lain. Penyatuan ummah tidak ada sedikit pun terlintas di kalangan pimpinan UMNO dan PAS untuk menafikan kaum-kaum lain kerana kita mengiktiraf Malaysia ini sebuah negara majmuk, negara yang mempunyai pelbagai agama dan kaum yang harus kita pertahankan tetapi akarnya, pasaknya, Islam agama persekutuan, bangsa terasnya harus diperkukuhkan,” ujarnya.

Katanya lagi sudah tiba masanya setelah puluhan tahun dua parti terbesar yang mewakili orang Melayu Islam berpecah malah bukan setakat itu tetapi berbalah sampai ke peringkat yang ekstrem kini bersatu.

“Keluarga bercerai-berai, masjid ada dua dan sebagainya yang tidak sihat bagi sebuah negara apabila kaum majoritinya berpecah-belah, berbalah dan berkelahi… ia akan memberi implikasi kepada kestabilan serta keharmonian keseluruhannya,” tambahnya lagi.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.